Kerajaan Negeri P. Pinang nafi mesej tular berhubung i-Sejahtera

Bernama
April 23, 2022 13:16 MYT
Mesej yang tular itu memaklumkan pendaftaran untuk golongan B40 bagi memohon bantuan i-Sejahtera yang dibayar oleh kerajaan negeri sebanyak RM200 telah dibuka. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menafikan satu kenyataan yang tular berkaitan sumbangan i-Sejahtera negeri itu sejak semalam dan semakan mendapati ia sebenarnya palsu.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh berkata mesej yang tular di media-media sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan Telegram berhubung i-Sejahtera itu juga adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan salah faham kepada orang awam berkenaan konsep sumbangan program i-Sejahtera.
"Program i-Sejahtera tidak menyasarkan khusus kepada golongan B40 seperti yang didakwa. Sebagai contoh bagi Program Penghargaan Warga Emas, semua pengundi berdaftar dalam Pulau Pinang yang berumur 60 tahun ke atas layak menerima sumbangan iaitu sebanyak RM200 bermula 2022 tanpa mengira status B40, M40 ataupun T20," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata secara ringkasnya, program-program i-Sejahtera merupakan sumbangan penghargaan daripada kerajaan negeri kepada rakyat Pulau Pinang dan bukanlah program bantuan yang dikhususkan kepada golongan B40 sahaja.
Terdahulu, mesej yang tular itu memaklumkan pendaftaran untuk golongan B40 bagi memohon bantuan i-Sejahtera yang dibayar oleh kerajaan negeri sebanyak RM200 telah dibuka dan satu pautan turut disertakan bersama mesej tersebut.
-- BERNAMA
#Phee Boon Poh #Exco Pulau Pinang #i-sejahtera #mesej tular
;