Kerajaan negeri Melaka pantau ketat inisiatif tanpa beg plastik - Exco
Bernama
Januari 2, 2016 08:53 MYT
Januari 2, 2016 08:53 MYT
Kerajaan Negeri Melaka memantau ketat inisiatif tanpa beg plastik setiap hari di negeri ini yang bermula 1 Januari dan akan melakukan pemantauan berkala terhadap seluruh premis jualan makanan, minuman serta barangan bagi memastikan inisiatif itu dilaksanakan dengan berkesan.
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin berkata kompaun maksimum RM250 akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi penguatkuasaan berkenaan selepas notis peringatan diberikan pihak berkuasa terlibat.
"Kerajaan negeri telah berikan pelbagai hebahan, maklumat dan peluang yang cukup lama kepada peniaga untuk bersedia dengan amalan hijau yang cuba diterapkan dalam kalangan rakyat Melaka sejak lebih setahun lepas.
Usaha ini bukan untuk membebankan rakyat tetapi untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat serta membantu mengurangkan pencemaran melibatkan penggunaan plastik seterusnya mengekalkan kehijauan persekitaran yang kita ada sekarang," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Terdahulu beliau melakukan tinjauan terhadap penguatkuasaan inisiatif tanpa beg plastik setiap hari di sebuah pusat membeli belah di Peringgit di sini.
Md Yunos berkata hanya plastik jenis biodegrasi dibenarkan untuk digunakan dalam perniagaan di negeri ini dan peniaga seharusnya menyediakan plastik jenis itu kepada pelanggan mereka.
"Kita juga berharap rakyat yang ingin membeli barangan di pasar raya atau premis jualan membawa beg kitar semula mereka sebagai menyokong hasrat kerajaan ini," katanya.
Tinjauan Bernama di beberapa kawasan perniagaan di negeri ini mendapati terdapat pengguna tidak menyedari tentang penguatkuasaan yang mula dilaksanakan hari ini dan terpaksa membawa barangan yang dibeli tanpa beg plastik.
Nur Syahidah Sapee, 26, berkata perlaksanaan tanpa beg plastik sepenuhnya di negeri itu tidak menjadi masalah besar kerana ia telah mula diamalkan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dah Ahad sejak setahun lepas.
"Ia nampak sukar untuk diamalkan tapi masyarakat perlu sedar tentang kepentingan Hari Tanpa Beg Plastik ini dan menyambut saranan Kerajaan Negeri Melaka," kata penjawat awam itu.
Mohd Salleh Abd Majid, 60, pula berkata penguatkuasaan itu membantu mengurangkan pencemaran alam namun peniaga diminta menyediakan alternatif lain antaranya beg kertas supaya pembeli dapat membawa barangan yang dibeli dengan mudah.