Kerajaan negeri Melaka cadang perkenal enakmen khas bendung tuntutan 'merepek'
Astro Awani
Februari 1, 2016 21:42 MYT
Februari 1, 2016 21:42 MYT
Kerajaan negeri Melaka bercadang untuk memperkenalkan satu enakmen khas bagi membolehkan tindakan keras diambil kepada sesiapa yang membuat tuntutan tidak masuk akal daripada kerajaan negeri itu.
Ia termasuk terhadap mana-mana individu yang mengaku diri sebagai Sultan Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, kewujudan enakmen itu sekali gus mampu membendung sebarang perilaku yang boleh mendatangkan malu kepada negeri Melaka.
"Kerajaan negeri mengambil tindakan segera dengan berbincang sekali lagi bagaimana usul untuk memperkenalkan satu enakmen khas yang lebih keras yang boleh mengambil tindakan kepada mereka yang menuntut perkara karut.
"Saya kira enakmen ini nanti akan melindungi pihak kerajaan dan akan boleh diaplikasikan kepada mereka yang menuntut sebagai keturunan Sultan Melaka dan segala yang berkaitannya," kata Idris ketika ditemui selepas forum khas berkaitan isu Sultan Melaka dan Bonda Ratu di Dewan Perzim Bandaraya Melaka pada Isnin.
Tegas Idris lagi, kerajaan negeri tidak akan sesekali mengiktiraf mana-mana individu yang mengaku sebagai pewaris Kesultanan Melaka kerana dikhuatiri akan merosakkan susur galur Kesultanan Melayu secara seluruhnya.
"Kita tidak akan mengiktiraf mana-mana individu yang mendakwa diri mereka sebagai Sultan Melaka atau Bonda Ratu atau apa jua gelaran dan seangkatan dengannya.
"Tidak, kita tidak akan iktiraf sebarang usaha untuk menzahirkan kembali Sultan Melaka," tegasnya.
Isu Sultan Melaka telah wujud sejak beberapa tahun lepas apabila seorang ahli perniagaan, Noor Jan, 58 tahun, mengaku sebagai pewaris sebenar takhta Kesultanan Melaka dan menggelarkan dirinya Sultan Melaka.
Terbaru, seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang mengaku sebagai 'Bonda Ratu' ditahan polis bersama suaminya di rumahnya di Sungai Rambai, Jasin pada 7 Januari 2016 kerana merancang mengadakan majlis penganugerahan pingat di Melaka pada 9 Januari.
Dia yang mendakwa dirinya 'Raja Kerinchi Tinggi Sumatra' yang direman selama empat hari itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
#idris haron
#Kerajaan negeri Melaka bercadang untuk memperkenalkan satu enakmen khas bagi membolehkan tindakan keras diambil kepada sesiapa yang membuat tuntutan tidak masuk akal