Kerajaan negeri, MCMC tingkat kerjasama tangani kes tipu inap desa
Nur Fazlizai Ali
Jun 10, 2022 07:30 MYT
Jun 10, 2022 07:30 MYT
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan kes penipuan tempahan rumah inap desa secara dalam talian tidak berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata pihaknya memandang serius masalah itu dan khuatir isu tersebut akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan pelancong untuk ke Terengganu.
Menurut Ariffin meskipun begitu, pihaknya percaya kes seumpama itu adalah kes terpencil dan ia turut berlaku di negeri lain.
"Isu scammer ini berlaku di mana-mana dan sangat terjejas contoh tempahan homestay, tempahan hotel semua.
"Pelancong dari luar bila berlaku begini dia rasa ragu-ragulah sedikit sebab sekarang ini sepatutnya tak timbul dan mungkin kalau datang walk in selalunya penuh.
"Jadi mereka buat tempahan dalam talian. Tapi bila dalam talian, berlaku begini.
"Kita kesallah. Jadi kita harap MCMC ambil tindakan tentang perkara ini," katanya.
Ariffin turut menasihati pelancong yang berhasrat ke Terengganu agar berhati-hati sebelum melakukan sebarang transaksi pembayaran melibatkan tempahan rumah inap desa terutamanya secara dalam talian.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Festival Budaya Terengganu 2022 di Kuala Terengganu.
Terdahulu polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan bagi membantu siasatan kes penipuan tempahan rumah inap desa yang tidak wujud di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, pasangan masing-masing berusia 27 dan 26 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Dungun pada Rabu.