Kerajaan negeri komited laksana program bantu ibu atasi tekanan bersalin

Bernama
Januari 1, 2023 07:45 MYT
Para ibu digalakkan berjumpa dan menghadiri sesi kaunseling di pusat kesihatan yang menyediakan perkhidmatan terbaik dan mempunyai doktor berpengalaman. - Gambar hiasan
MELAKA: Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) komited untuk melaksanakan pelbagai program berkaitan pra dan pascabersalin bagi membantu para ibu mengatasi tekanan sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata ia secara tidak langsung dapat membantu memastikan tahap kesihatan mental para ibu tersebut sentiasa dalam keadaan baik sepanjang tempoh kehamilan dan selepas melahirkan.
"Ini penting walaupun sudah terdapat pusat-pusat kesihatan memberi khidmat yang baik kepada ibu-ibu ini. Kami akan cuba buat (program) dan setakat ini kami tidak menerima apa apa aduan berkaitan dengan ibu-ibu yang nak cuba bunuh diri masa mengandung ke ... tidak ada... Insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan sempena meraikan kelahiran bayi tahun baharu 2023 di Hospital Melaka di sini semalam.
Katanya para ibu digalakkan berjumpa dan menghadiri sesi kaunseling di pusat kesihatan di negeri ini yang menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selain mempunyai doktor berpengalaman.
Dalam pada itu Kalsom berkata seramai enam bayi dilahirkan sempena tahun baharu 2023 di Hospital Melaka sehingga setakat 9 pagi semalam dengan kelahiran pertama dicatatkan pada 1.20 pagi iaitu bayi perempuan seberat 2.14 kilogram (kg).
Katanya di Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah tiada kelahiran bayi direkodkan setakat 12 tengah hari ini.
"Secara keseluruhan kita meraikan dua bayi lelaki dan empat bayi perempuan dan syukur alhamdulillah keadaan semua ibu dan bayi mereka juga dalam keadaan sihat serta selamat," katanya.
-- BERNAMA
#ibu bersalin #Kalsom Noordin #tekanan #program pra dan pascabersalin
;