Kerajaan negeri Kelantan nafi dakwaan exco lawat New Zealand

Vivi Sumanti
Disember 18, 2019 17:38 MYT
MOHD AMAR: Lawatan itu dicadangkan dibuat kerana koperasi dan pencapaian syarikat meningkat.
Dakwaan yang tular di media sosial mengenai 17 exco kerajaan negeri ke New Zealand dinafikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Beliau menafikan perkara itu, sebaliknya berkata lawatan berkenaan dibuat oleh anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kelantan Berhad (PKB).
Katanya, lawatan itu juga tidak membabitkan mana-mana exco kerajaan negeri.
"Saya difahamkan lawatan yang akan dibuat itu tidak melibatkan exco dan ia adalah program anak syarikat PKB.
"Lawatan itu dicadangkan dibuat kerana koperasi dan pencapaian syarikat meningkat, mungkin ada perkara yang mahu dipelajari, di sana," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata, kenyataan yang diviralkan juga tidak benar kerana kerajaan negeri hanya mempunyai 11 exco sahaja bukan 17 seperti yang didakwa.
Isu lawatan ke New Zealand tular di media sosial Facebook dan pengguna mendawa rombongan PKB serta seramai 17 exco kerajaan negeri akan menyertai lawatan ke luar negara pada 5 hingga 11 Januari 2020.
Sementara itu Mohd Amar berkata, pihaknya dan exco kerajaan Kelantan juga tidak mempunyai maklumat mengenai lawatan tersebut.
"Kita dan exco pun tak ada maklumat, sebab itu urusan anak syarikat PKB setakat saya tahu tiada exco dalam barisan ahli lembaga syarikat tersebut," katanya.
#exco kerajaan #Kelantan #kerajaan negeri #lawatan ke new zealand #mohd amar abdullah #Tular
;