Kerajaan negeri jangan buat keputusan sendiri, rujuk Mesyuarat Khas Menteri-Menteri - Ismail Sabri

Rahimah Abdullah
Ogos 18, 2020 16:49 MYT
Kerajaan negeri diingatkan agar merujuk kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan mengenai SOP PKP. - Foto Astro AWANI
Kerajaan negeri diingatkan agar merujuk kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan mengenai SOP PKP.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk pengisytiharan PKPD di satu-satu kawasan dalam negeri, kerana kerajaan negeri tidak mempunyai akta khusus untuk berbuat demikian dan keputusan negeri boleh dicabar di mahkamah.
Teguran itu susulan ada negeri yang mengambil keputusan sendiri dengan membatalkan beberapa aktiviti perniagaan dan sosial walaupun kawasan terbabit tidak diisytiharkan sebagai kawasan PKPD.
"Ada yang tidak benarkan operasi kedai gunting rambut misalnya, ada yang arahkan taman permainan ditutup, ada negeri cadang untuk tutup beberapa kampung tertentu di bawah PKPD.
"Saya mohon negeri berkaitan supaya rujuk kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP untuk tahu dari segi kita benar atau tidak. Seperti yang dilakukan Kerajaan Sarawak, mereka memohon pelaksanaan rentas zon," katanya dalam sidang media mengenai PKPP di bangunan Parlimen pada Selasa.
Jelasnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Peguam di peringkat negeri juga diminta untuk menasihatkan kerajaan negeri mengenai SOP PKP.
"Jika kerajaan negeri memperkenalkan sesuatu undang-undang, dan tidak diluluskan MKN dan KKM, maka ia tidak boleh dikuatkuasakan. Polis sebagai contoh hanya mematuhi arahan Kerajaan Persekutuan. Polis hanya merujuk kepada punca kuasa di bawah Akta 342 adalah Persekutuan.
"Jadi kalau mereka laksanakan, tindakan mereka boleh dicabar di mahkamah. Jadi kita perlu bekerjasama," ujarnya.
Beliau memahami kerajaan negeri bimbang dengan situasi COVID-19, namun tindakan undang-undang hanya boleh dilaksanakan di negeri tersebut jika diwartakan oleh KKM melalui Akta 342.
#COVID19 #ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #kerajaan #keselamatan #kesihatan #KKM #Kuala Lumpur #mahkamah #Media #menteri #Parlimen #polis #SOP
;