Kerajaan negeri fail rayuan untuk kes AES

Azyyati Ahmad
Februari 21, 2013 16:34 MYT
Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) tidak mempunyai kuasa ke atas Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ini kerana kedua lebuhraya ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan bukan Kerajaan Negeri.
Berhubung dengan perkara itu, kerajaan negeri telah memfailkan rayuan dan beberapa tindakan susulan termasuk mengarahkan kamar Penasihat Undang-undang Negeri Selangor dan Jabatan Undang-undang Majlis Perbandaran Selayang untuk menyemak nota kehakiman kerana kesal dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebelum itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusuf telah membenarkan syarikat pengendali kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Beta Tegap Sdn Bhd memasang kamera AES di dua lebuh raya itu.
Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Beta Tegap bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan MP Sepang yang difailkan 12 Disember lepas.
Dalam permohonan itu, Beta Tegap mendakwa MP Sepang, menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November tahun lepas, memutuskan syarikat berkenaan perlu memohon kebenaran untuk memasang tiang dan kamera AES di Kilometer 301.7 Lebuhraya Utara Selatan dan Kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan, kedua-duanya di Dengkil, Sepang.
#AES #MP Sepang #PLUS #SKVE
;