Kerajaan negeri disaran teroka industri herba, ekopelancongan dan farmaseutikal - PM
Hasimi Muhamad
Mac 21, 2021 14:22 MYT
Mac 21, 2021 14:22 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri disarankan agar memperkasakan ekopelancongan, industri herba dan farmaseutikal, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri juga perlu mengurangkan kebergantungan pada aktiviti pengusahasilan hutan.
Sebaliknya, jelas Muhyiddin, penerokaan sumber kekayaan baharu daripada hutan perlu dilakukan dan dimanfaatkan melalui pemantapan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor perhutanan.
"Usaha untuk menggalakkan penyertaan Orang Asli atau Orang Asal dan komuniti setempat melalui program Perhutanan Sosial sewajarnya diberikan tumpuan.
"Saya amat bangga dengan kejayaan yang telah dicapai melalui penglibatan komuniti dalam pengurusan hutan secara bersama antara Jabatan Perhutanan Sabah dan kaum Dusun di Hutan Simpan Kelawat.
"Melalui Perhutanan Sosial, kaum Dusun yang terlibat telah berjaya meningkatkan tiga hingga empat kali ganda pendapatan isi rumah iaitu melebihi RM1,000 sebulan," katanya, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Muhyiddin dalam masa yang sama menyambut baik komitmen kerajaan-kerajaan negeri untuk meningkatkan litupan hutan di bawah Rancangan Struktur Negeri masing-masing.
Kerjasama strategik kerajaan negeri dengan Persekutuan dan pihak swasta, jelas beliau, penting dalam merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan.
"Bagi menyokong hasrat ini, saya telah melancarkan “Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” di seluruh negara dengan sokongan Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada 5 Januari yang lalu.
"Kempen yang bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” atau “Greening Malaysia: Our Trees, Our Life” itu telah merekodkan penanaman lebih empat juta pokok dan 400 spesies oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk individu, organisasi-organisasi Kerajaan dan syarikat swasta," katanya,
Justeru, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat negara ini ingin supaya semua pihak melipatgandakan usaha untuk bersama-sama menjayakan Agenda Nasional Penghijauan Malaysia dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.
Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau amat yakin sektor perhutanan Malaysia telah melangkah ke satu era yang baharu dalam mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri demi kepentingan negara, rakyat dan khazanah hutan.
#Muhyiddin Yassin
#Dasar Perhutanan Malaysia
#ekopelancongan
#Industri herba
#Selamat hutan
#Agenda Nasional Penghijauan Malaysia
#ekonomi
#Orang Asli