Kerajaan Negeri diminta semak perolehan royalti emas
Muhafandi Muhamad
Julai 20, 2022 08:30 MYT
Julai 20, 2022 08:30 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan diminta menyemak semula hasil royalti perlombongan emas di Sokor, Tanah Merah oleh sebuah syarikat dari China.
Ini kerana menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Seri Mohd Alwi Che Ahmad, syarikat berkenaan yang tersenarai di Bursa Saham Singapura memperolehi hasil yang lumayan.
Bagaimanapun beliau mendakwa bayaran royalti dan 'tribute' yang diberikan oleh syarikat kepada kerajaan negeri lebih rendah daripada hasil yang dilombong.
"Sejak 10 tahun yang lalu, syarikat CGMC China telah mengeluarkan, rakyat perlu tahu sejumlah 6,500 kilogram emas jongkong, 6.5 tan emas terhasil dari lombong itu satu sahaja.
"Syarikat ini disenaraikan di Bursa Saham Singapura. 6.5 tan ini kalau kali dengan RM200,000, dah ada RM1.3 hinggai RM1.4 bilion hasil.
"Jadi so kita minta kerajaan negeri semak ialah apabila hasil sampai ke RM1.3 bilion, royalti untuk kerajaan negeri adalah 10 peratus, 'tribute' PKINK yang merupakan pemegang lesen 3 peratus kalau tak silap saya, jadi maknanya hasil kepada kerajaan negeri ada 13 peratus dari RM1.3 bilion.
"Sepatutnya RM135 juta mesti masuk dalam akaun kerajaan negeri ini perlu disemak," katanya.
Tambah Mohd Alwi, dari rekod penyata kewangan kerajaan Kelantan yang dibentangkan dalam laporan Ketua Audit Negara, hanya terdapat RM5.3 juta royalti emas direkodkan.
Jumlah itu jelasnya lebih rendah dan terdapat perbezaan dari yang diumumkan oleh syarikat berkenaan di Bursa Saham Singapura.
Bahkan laporan Ketua Audit Negara 2018 telah menegur Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan kerajaan Kelantan mengenai kelemahan dalam pengurusan terimaan hasil royalti dan 'tribute' itu dengan merekodkan royalti terkurang bayar.
Mohd Alwi berkata dari 2012 hingga 2021, syarikat berkenaan merekodkan 6.5 tan emas dikekuarkan dari bumi Kelantan.
Isu ini dibangkitkan oleh ADUN Bukit Bunga dari Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Adhan Kechik yang meminta penjelasan dari kerajaan negeri kaedah kawalselia pengeluaran emas yang ditetapkan kerajaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Selasa.