Kerajaan negeri digesa pulihkan kediaman keluarga Sultan Perak ke-28
Astro Awani
Jun 21, 2014 20:19 MYT
Jun 21, 2014 20:19 MYT
Sekumpulan pencinta warisan negeri Perak menggesa kerajaan negeri agar melakukan sesuatu untuk menyelamatkan bangunan yang pernah menjadi kediaman keluarga Sultan Perak yang ke-28, Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah di Bukit Chandan.
Kumpulan yang menamakan diri sebagai Bukit Chandan Kampungku (BCKK) itu berharap bangunan rumah kayu separuh batu tersebut dapat dibaik pulih dan dijadikan sebagai antara tarikan pelancongan baru ke bandar diraja ini.
Keadaan Baitul Anor sekarang. -foto Raja Mariam Raja Mohamed
Menurut pengasas BCKK, Raja Nur Jannah Raja Hirdan, bangunan yang diberi nama Baitul Anor itu sekarang ini sedang diusahakan untuk jadi sebuah galeri yang menghimpunkan sejarah Bukit Chandan,
"Kalaulah kita dapat perhatian daripada Jabatan Warisan atau badan-badan kerajaan yang boleh membantu kami memulihara rumah ini… kita hendak sangat ada galeri supaya kita boleh pamerkan beberapa barangan, informasi yang boleh memberi pengetahuan kepada orang ramai, tidak termasuk orang Perak sahaja. Maknanya, pelancong-pelancong yang datang ke sini juga, InsyaAllah," katanya.
Beliau ditemui selepas program Mengenang Sultan Idris I yang berlangsung di rumah bersejarah itu pada Sabtu.
Program itu turut disertai oleh Raja DiHilir Perak, Raja Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Sultan Idris Shah A'fifullah yang berkenan berangkat hadir bersama adindanya, Raja Puan Mahkota Perak, Raja Datuk Seri Nazhatul Shima. Baginda berdua adalah cicit kepada Sultan Idris I.
Ayahanda baginda berdua adalah Sultan Perak yang ke-33, Sultan Idris II yang memerintah sebelum Sultan Azlan Shah Al-Maghfullah yang mangkat baru-baru ini.
Bangunan rumah kayu separuh batu dengan tembok ala kubu ini diharap dapat dibaik pulih. -Raja Nur Jannah Raja Hirdan
Program itu turut disertai oleh hampir 300 orang termasuk waris dan kerabat Sultan Idris I. Program dimulakan dengan ziarah ke Makam Di-Raja Al-Ghufran yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan dan disusuli majlis tahlil.
Sementara itu, Pengerusi Perak Tourism Malaysia Sdn Bhd, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Manong, Mohd Kamil Datuk Shafie berkata beliau sendiri pernah membangkitkan isu Baitul Anor itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang lalu.
Menurut beliau, bangunan itu berpotensi menjadi satu lagi destinasi pelancongan baru di Bukit Chandan, sebagai tambahan kepada tarikan pelancongan lain seperti Masjid Ubudiah, Istana Iskandariah dan Galeri Sultan Azlan Shah.
Sultan Idris I naik takhta semasa berumur 38 tahun pada 1887 semasa Hugh Low jadi Residen di Perak. Baginda jugalah yang bertanggungjawab memecahkan tradisi Kesultanan Perak dengan memindahkan istana negeri ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Sebagai seorang yang menitikberatkan pendidikan dunia dan akhirat, baginda sangat instrumental kepada penubuhan Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar serta Sekolah King Edward di Taiping.
Semasa gering pada penghujung pemerintahannya, baginda bernazar membina sebuah masjid sekiranya sembuh. Baginda kemudian membangunkan Masjid Ubudiah yang sekarang tegak di Bukit Chandan namun tidak sempat melihatnya kerana mangkat pada 1967.
#Baitul Anor
#BCKK
#Bukit Chandan
#Bukit Chandan Kampungku
#Perak
#Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah