Kerajaan nafi tergesa-gesa buka sektor ekonomi, Akta 342 masih berkuatkuasa
Astro Awani
Mei 2, 2020 14:50 MYT
Mei 2, 2020 14:50 MYT
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Susulan itu, beliau menegaskan, mereka yang melanggar arahan akan tetap diambil tindakan.
"Kerajaan telah menyediakan syarat penyediaan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat walaupun kepentingan kesihatan dan ekonomi diperlukan, namun, tetap tertakluk kepada SOP yang ketat. Perlu saya ingatkan bahawa PKP masih terus dilaksanakan.
"Bukan bermakna PKP ini tidak ada, Akta 342 masih lagi mengikat rakyat kita patuh kepada setiap arahan sebab Akta 342 masih berkuatkuasa dan tindakan masih boleh diambil kepada mereka yang ingkar," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.
Malah katanya, ia selari dengan pengumuman awal iaitu mengadakan kelonggaran demi kelonggaran dalam PKP.
Justeru, beliau berkata, operasi sektor ekonomi yang diumumkan dilakukan secara berperingkat.
"Sebagai contoh, kita hadkan operasi perniagaan sehingga pukul 8 malam dan ia akan dilonggar sedikit demi sedikit, jadi ia dibenarkan hingga 10 malam.
"Peringkat awal, kilang yang dibenar operasi ialah melibatkan makanan dan perubatan dan jumlah pekerja hanya 50 peratus, selepas itu dilonggarkan sedikit kepada 100 peratus," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menafikan, kerajaan bertindak tergesa-gesa membuka sektor ekonomi terlibat pada PKPB.
"Walaupun kita membuka operasi, namun bukan tergesa-gesa sebab kita melalui peringkat-peringkat tertentu. Sekarang ini kita buka di kawasan hijau. Sebab itu kita beri kelonggaran kepada peniaga di warung, penjual goreng pisang misalnya sebab kehidupan rakyat di akar umbi agak sukar dan memberi peluang pendapatan kepada mereka," ujar beliau.
Tindakan itu juga, tegasnya, tidak bermakna PKP ditarik balik, yang ada hanyalah dilonggarkan.
#ekonomi
#ismail sabri yaakob
#kerajaan
#kesihatan
#Media
#menteri
#operasi
#peniaga
#perubatan
#rakyat
#SOP