Kerajaan nafi pembangunan kerangka pelesenan media sosial tidak libat proses rundingan

Bernama
Oktober 21, 2024 15:49 MYT
Teo berkata pandangan pihak berkepentingan telah diambil kira melalui beberapa siri libat urus dan rundingan berterusan sejak bulan April lepas bagi memastikan pembangunan kerangka pelesenan yang komprehensif. - Bernama
KUALA LUMPUR: Dakwaan Gabungan Internet Asia (AIC) dalam surat terbukanya bertarikh 26 Ogos lepas bahawa pembangunan kerangka pelesenan media sosial tidak melibatkan proses rundingan adalah tidak benar, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata pandangan pihak berkepentingan telah diambil kira melalui beberapa siri libat urus dan rundingan berterusan sejak bulan April lepas bagi memastikan pembangunan kerangka pelesenan yang komprehensif.
Teo berkata ia termasuk pertemuan dengan ByteDance pada 25 April, 28 Ogos dan 26 Sept, Meta (11 Jun dan 18 Sept), Telegram (25 April dan 23 Sept), Google (29 April dan 28 Jun), X (25 April dan 16 Okt) dan Tencent pada 24 April dan 27 Mei.
"Sesi perbincangan dan libat urus bersama AIC juga telah diadakan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 28 Mei lepas. Pihak AIC juga telah mengemukakan maklum balas bertulis pada 26 Jun kepada MCMC," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai percanggahan respon AIC yang menggesa kerajaan untuk menghentikan rancangan mengenakan lesen ke atas platform media sosial.
MCMC sebelum ini memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
AIC sebelum ini mendakwa langkah pelesenan itu tidak boleh dilaksanakan bagi industri berkenaan, dan ia boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.
Menjawab soalan tambahan Wee berhubung langkah mewajibkan pengesahan identiti pengguna media sosial, Teo berkata kerajaan belum berhasrat untuk melakukan perkara itu memandangkan ia agak sukar dilaksanakan sekiranya penyedia platform itu sendiri tidak mewajibkan syarat berkenaan.
"Ini hanya mungkin boleh berlaku selepas kita ada satu pelesenan media sosial dan kita masukkan dalam kod tatalaku, tapi ini bukan hasrat kerajaan waktu ini," katanya.
Berhubung isu peluasan pelesenan kepada platform media sosial yang memiliki jumlah pengguna berdaftar lapan juta ke bawah, Teo berkata kerajaan mahu melihat terlebih dahulu keberkesanan mekanisme kerangka pelesenan yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Jan 2025.
"Apabila kementerian menetapkan lapan juta sebagai threshold, kami faham bahawa ia tidak tinggi, kerana kalau kita rujuk United Kingdom dan India, threshold mereka jauh lebih rendah, iaitu masing-masing lima dan tujuh juta.
"Ini kerana kajian kami mendapati bahawa kebanyakan jenayah siber berlaku di platform popular seperti Facebook, Telegram, WhatsApp, sebab itu kita nak fokus kepada platform yang mempunyai pengguna lapan juta ke atas ini dan kita nak tengok apa keberkesanan mekanisme yang diguna pakai tahun depan," katanya.
Beliau berkata bagi tempoh Januari 2022 hingga September tahun ini, 60 peratus kandungan yang dimohon MCMC untuk diturunkan adalah berkaitan perjudian dan 22 peratus pula berkaitan penipuan.
Teo berkata sejak beliau dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilantik memegang jawatan di Kementerian Komunikasi, mereka sudah mengadakan pertemuan dengan penyedia platform media sosial sebanyak 22 kali bagi membincangkan isu tersebut, namun kandungan dan hantaran itu tetap wujud setelah beberapa minggu.
"Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kerugian RM1.6 bilion dalam tempoh masa 19 bulan. Sudah sampai masa untuk kita memastikan platform dipertanggungjawab atas kandungan tidak selamat ini," katanya.
-- BERNAMA
#Kerajaan Madani #kawalan media #pelesenan media #Teo Nie Ching
;