Kerajaan nafi abai pencarian kapal kargo Malaysia hilang sejak Januari
Hasimi Muhamad
Mac 23, 2023 14:12 MYT
Mac 23, 2023 14:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) menafikan bahawa kerajaan mengabaikan operasi pencarian kapal kargo Malaysia, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak awal Januari lalu.
Menteri, Anthony Loke Siew Foke berkata, kerajaan bersungguh-sungguh dan yakin dengan agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan keberadaan kapal berkenaan, yang dikendalikan lima kru melibatkan tiga rakyat Malaysia dan dua warga Indonesia.
"Ini nyawa manusia dan kita bukan melihat kepada kos (pencarian) tersebut. Namun begitu secara faktanya adalah dari segi kawasan di mana bot itu hilang, ia berada di perairan Indonesia. Dari segi pihak berkuasa untuk mencari dan menyelamat, ia di bawah pihak berkuasa Indonesia.
"Sudah tentu Wisma Putra ada berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia. Tambahan pula dari segi operasi SAR adalah di bawah bidang kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Pihak Jabatan Laut juga sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan pihak APMM untuk kita pastikan usaha SAR ini akan dapat kita terus, dan tidak benar mengatakan bahawa kita mengabaikan operasi SAR ini," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Loke (PH-Seremban) menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (PH-Tuaran) terhadap kesungguhan kerajaan untuk mencari kapal berkenaan, dan bukan sekadar menyiasat punca kehilangan.
Menjawab lanjut, Loke berkata kementerian telah mengarahkan pihak Jabatan Laut memantau secara serius dan memastikan misi SAR diteruskan bersama-sama pihak berkuasa Indonesia.
"Saya berharap mesej ini dapat disampaikan oleh Yang Berhormat kepada keluarga-keluarga (mangsa)," katanya lagi.
Beliau menambah lokasi terakhir kapal itu dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu iaitu di sektor 9 Traffic Separation Scheme (TSS) sekitar Pulau Mungging, Johor dan melalui isyarat kecemasan Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) APPM, di perairan Indonesia.
Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai kerjasama Kerajaan Malaysia dan Indonesia, Loke menambah laporan siasatan kehilangan kapal kargo sedang diteliti di peringkat kementerian dan akan mendapatkan ulasan daripada Jabatan Peguam Negara.
"Saya juga berniat untuk memastikan laporan ini, dari segi fakta-fakta, semuanya terbuka. Saya tidak mempunyai masalah untuk membuka laporan ini untuk dijadikan laporan terbuka kepada orang ramai," katanya.
Difahamkan, nakhoda kapal dan jurutera kapal merupakan warga Indonesia, yang masing-masing dikenali sebagai Adi, 43, dan Damai Papane Ole, 57.
Manakala, tiga rakyat Malaysia yang dikhuatiri hilang dikenali sebagai Derrent Litto, 22; Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; dan Mohammad Sudeh Sudin, 20.