Kerajaan mungkin tidak lagi perlu laksanakan PKP selepas 31 Ogos - Pensyarah perubatan

Faris Danial Razi
Ogos 11, 2020 19:27 MYT
Pensyarah Perubatan Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rosliza Abd Manaf berharap orang ramai teruskan dengan amalan kelaziman baharu supaya wabak COVID-19 kembali terkawal. - Bernama
Kerajaan mungkin tidak lagi perlu melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 31 Ogos.
Itu jelas Pensyarah Perubatan Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rosliza Abd Manaf, yang berharap orang ramai teruskan dengan amalan kelaziman baharu supaya wabak COVID-19 kembali terkawal.
“Dalam tempoh beberapa minggu lagi ini, kita harapkanlah agar semua masyarakat sama-sama menghayati dan mengamalkan norma baharu ini supaya ia menjadi kebiasaan.
“Sesuatu yang kita buat tanpa berfikir lagi, pergi ke mana mana terutama di tempat yang ramai orang, kita guna pelitup muka,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Dr Rosliza juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa jaga kebersihan dan elakkan tempat yang padat serta ramai orang.
“Misalnya, kita pergi membeli barang, pastikan kita mengamalkan penjarakan fizikal satu meter daripada orang lain.
“Itu tiga amalan asas kalau mulai sekarang ia menjadi kebiasaan buat kita, ia akan dapat diteruskan sampai bila-bila.
“Selepas 31 Ogos, mungkin tidak perlu dah kerajaan mengamalkan atau menjalankan PKP lagi tapi semua sudah kembali kepada biasa dengan amalan norma baharu,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu hingga 31 Ogos.
Sementara itu, mengulas mengenai keberkesanan pelitup muka jenis fabrik dan purdah, beliau menegaskan ia perlu mempunyai tiga lapisan supaya cukup untuk melindungi diri daripada dijangkiti COVID-19.
“Sekiranya kita ingin pelitup muka itu berfungsi sebegitu, ada ciri-ciri yang perlu dipenuhi sebagaimana yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tidak kiralah samada ia pelitup muka pakai buang ataupun fabrik, ia mestilah tiga lapisan.
“Lapisan pertama di dalam sekali serap air supaya kita boleh serap haba pernafasan, lapisan di luar dan lapisan di tengah adalah yang tidak serap air.
Jadi, tidak kiralah sama ada ia fabrik atau pelitup muka pakai buang, ia mestilah tiga lapisan,” tambah Dr Rosliza.
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #kerajaan #kesihatan #KKM #koronavirus #pelitup muka fabrik #perintah kawalan pergerakan #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #perubatan #PKP #purdah #WHO
;