Kerajaan mohon JPA tambah perjawatan jururawat - Dr. Dzulkefly
Wan Syamsul Amly
Mei 12, 2019 15:00 MYT
Mei 12, 2019 15:00 MYT
Kerajaan masih memohon daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan pertambahan perjawatan jururawat yang masih lagi kurang di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia akan dilaksanakan selepas ekonomi negara pulih dan menjadi lebih baik.
"Kita memahami, moratorium telah dikenakan pada perjawatan jururawat tetapi kami masih lagi memohon untuk mendapatkan ianya diberikan tambahan dalam waktu yang munasabah ketika ekonomi kita pulih dan menjadi lebih baik.
"Kami sedar akan perkara itu. Ya, kita masih memohon mendapatkan tambahan," katanya semasa sidang media selepas perasmian Hari Jururawat Antarabangsa di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Ahad.
Mengenai isu graduan jururawat yang masih belum menerima penempatan di hospital kerajaan, Dr. Dzulkefly sebelum ini berkata, kementerian telah mengurangkan bilangan pengambilan pelatih jururawat daripada 2,274 pada tahun 2016 orang kepada 1,742 orang pada tahun 2018 (penurunan sebanyak 23 peratus).
Selain itu jelasnya, kementerian akan memohon kelulusan khas daripada JPA untuk menambah jawatan tetap atau membenarkan kementerian melantik graduan- graduan jururawat keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan secara kontrak.
Bagaimanapun ujarnya, buat ketika ini, permohonan itu masih dalam pertimbangan JPA.