Kerajaan minta kendali ambil pekerja asing
Astro Awani
Februari 19, 2013 06:58 MYT
Februari 19, 2013 06:58 MYT
Kerajaan digesa mengendalikan urusan pengambilan pekerja asing, termasuk urusan pengendalian pembantu rumah .
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Khalid Atan memberitahu ia bagi memastikan golongan tersebut mendapat layanan yang baik dan teratur.
Jelas Khalid, pengambilan menerusi ejen atau agensi penyumberan luar, yang bertindak sebagai orang tengah, perlu dihentikan.
Ini kerana ia mendatangkan masalah serta mencemar imej negara apabila mereka tidak menerima layanan sewajarnya.
Pihak terbabit juga ada yang dikesan mengambil keuntungan atas angin selain mengabaikan pekerja asing seperti ditamatkan permit kerja secara drastik hingga menyebabkan mereka ditangkap.
Beliau berkata sesetengah pekerja asing tidak dibayar untuk kerja yang mereka lakukan, atau dipaksa bekerja melebihi waktu yang sepatutnya.
Khalid turut membidas sesetengah ejen yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam kontrak untuk pekerja asing sedangkan mereka sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan pekerja itu.
Mengulas isu levi, pendirian MTUC tegasnya adalah jelas bahawa pekerja asing tidak harus dibebani bayaran levi, pengangkutan dan penginapan kerana ia perlu ditanggung majikan.
Pada 30 Januari lepas, kabinet memutuskan pekerja asing perlu membayar levi RM34.15 dan RM154.16 sebulan.