Kerajaan meterai 10 MoA dengan GLC, syarikat swasta bagi tambah baik ekosistem TVET
Astro Awani
Februari 28, 2023 11:50 MYT
Februari 28, 2023 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 memorandum perjanjian (MoA) akan dimeterai bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta dalam masa terdekat bagi menambahbaik ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan kepada Dewan Rakyat, program kerjasama spesifik bersifat 'quick win' itu antaranya membabitkan bidang automatif, minyak dan gas, hospitaliti, teknologi penyejuk bekuan serta penyaman udara.
"Seperti mana yang diumumkan melalui Belanjawan 2023, sebanyak 50 MoA disasarkan akan ditandatangani pada tahun ini.
"Namun pada jangka masa terdekat 10 MoA bersama GLC dan syarikat swasta akan dimuktamadkan bagi pelaksanaan TVET dan MoA ini akan bertindak sebagai platform kerjasama induk antara GLC dan syarikat swasta dengan kerajaan," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdama Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, data terkini UNESCO menyatakan bahawa hanya 5 peratus belia Malaysia berumur antara 15 hingga 24 tahun terlibat dalam bidang TVET
Katanya, kenyataan UNESCO itu mengambil kira populasi belia negara dalam lingkungan umur yang sama berjumlah seramai 6 juta orang berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Negara (DOSM).
"Data yang dinyatakan oleh UNESCO ini adalah selari kerana statistik enrolmen bagi tahun 2021 menunjukkan bilangan belia dalam kategori umur yang sama menyertai program TVET adalah seramai 360 ribu orang," katanya lagi.
Pada masa sama, Fadillah berkata, sehingga kini sebanyak 1,295 institusi TVET merangkumi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) direkodkan di negara ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang mahu tahu strategi baharu kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan program TVET.