Kerajaan memerintah ada hak bawa usul tukar Speaker Dewan Rakyat - Penganalisis

Ridauddin Daud
Julai 13, 2020 10:00 MYT
Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai hari ini bakal tertumpu kepada usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dewan dan timbalannya. - Gambar BERNAMA
Kerajaan memerintah mempunyai hak untuk membawa usul penukaran Speaker Dewan Rakyat pada bila-bila masa yang dirasakan perlu dan ia tidak melanggar undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, secara kebiasaannya apabila berlaku perubahan kerajaan, secara automatik kerajaan baru ingin melakukan perubahan sebegitu kerana peranan Speaker sangat penting dalam Dewan Rakyat.
Menurutnya, sekiranya ada masalah, sebagai contoh, Speaker di pihak lawan atau bertentangan dengan kerajaan, dibimbangi pengurusan dalam Parlimen akan terjejas.
“Siapa yang mempunyai majoriti di Parlimen, mereka ada hak untuk kemukakan usul untuk menukar Speaker yang mereka rasa boleh bertindak adil dalam urusan di Parlimen.
“Walaupun kita kata kenapa nak tukar, Speaker yang ada sekarang boleh bertindak adil dan sebagainya tetapi yang jelas kita lihat, Speaker sekarang adalah lantikan kerajaan sebelum ini dan dikatakan beliau juga adalah ahli salah sebuah parti dalam Pakatan Harapan.
“Tapi itu mungkin isu lain tapi isu sebenarnya adalah hak yang ada majoriti, sama ada parti yang membentuk kerajaan dalam Parlimen untuk bawa usul pertukaran Speaker pada bila-bila masa yang dirasakan perlu,” katanya dalam Buletin Awani Khas pada Isnin.
BACA: Usul pemilihan Speaker antara fokus Dewan Rakyat hari ini
BACA: Undi tidak percaya Muhyiddin: Usul Mahathir disenarai, giliran 27
Pandangan hampir sama turut dilontarkan seorang lagi penganalisis politik, Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis yang mengatakan pertukaran Speaker, dalam konteks yang berlaku di Malaysia, adalah penting untuk memudahkan proses kelulusan dasar dan polisi baharu.
Begitupun, Mujibu berpendapat isu berkenaan tidak perlu ditimbulkan dan Speaker tidak seharusnya menjadi alat atau boneka pihak tertentu.
“Dalam konteks berbeza, kita harus melihat perkara ini tidak perlu ditimbulkan kerana Speaker itu bertindak lebih daripada itu, tidak boleh dilihat sebagai alat atau boneka untuk memihak kepada parti kerajaan sahaja.
“Sepatutnya Speaker perlu lebih berani dan berinisiatif dan melihat konteks Parlimen itu sebagai pembuat dasar yang besar, tidak boleh begitu saja.
“Perkara inilah barangkali yang mungkin kita mahu melihat nuansa baru dalam politik Malaysia cuma hari ini ia mungkin tidak dibincangkan secara khusus,” katanya dalam program sama.
BACA: PM perlu bubar Parlimen jika gagal usul singkirkan Speaker Dewan Rakyat
BACA: Pelantikan Speaker Dewan Rakyat perlu ikut undang-undang
Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai hari ini bakal tertumpu kepada usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan dan timbalannya yang dijangka menghangatkan suasana hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.
Usul itu adalah untuk Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming mengosongkan jawatan mereka.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membentangkan usul bagi memilih bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Perdana Menteri turut dijangka mencadangkan enam ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih di bawah Peraturan Mesyuarat 76 untuk tempoh Parlimen Keempat Belas.
#Azalina Othman #Azalina Othman Said #Dewan Rakyat #kerajaan #Malaysia #menteri #Muhyiddin Yassin #Nga Kor Ming #Pakatan Harapan #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya #politik #rakyat #Suruhanjaya Pilihan Raya #Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof #undang-undang
;