Kerajaan membina pasar borong di Terengganu

Bernama
Februari 4, 2013 18:12 MYT
Kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah pasar borong baru bernilai RM50 juta di Bukit Payong, Marang bagi memenuhi sebahagian daripada keperluan peniaga di negeri ini.
Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu Shamsuddin Mat Rani berkata pasar borong berkenaan akan dapat menempatkan antara 100 dan 120 peniaga apabila siap nanti.
"Tapak pasar borong berkenaan seluas kira-kira 20 hektar sudahpun siap sepenuhnya," katanya.
Shamsuddin berkata pembinaan pasar borong tersebut dirancang oleh kerajaan negeri sejak 2006 tetapi tertangguh kerana beberapa masalah teknikal.
Bagaimanapun, beliau berkata masalah yang dihadapi itu kini telah selesai dan pembinaan pasar borong berkenaan mungkin akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Buat sementara waktu peniaga-peniaga khususnya di Kuala Terengganu, menggunakan pasar borong sementara di Kampung Wakaf Mempelam di sini.
"Kita faham hasrat petani atau nelayan, mereka memerlukan pasar borong kerana di situlah sebahagian besar daripada rangkaian pemasaran produk pertanian mereka," katanya.
Beliau berharap dengan adanya pasar borong tersebut akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di negeri ini.
Shamsuddin berkata lokasi pasar borong tersebut memang strategi kerana ia terletak berhampiran Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan terbesar di negeri ini.
#pasar borong #terengganu
;