Kerajaan Melaka ucap takziah kepada lima sekeluarga maut dalam kebakaran di Jasin

Bernama
Februari 13, 2025 16:00 MYT
Kerajaan Melaka mengucapkan takziah kepada lima sekeluarga yang terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin. -Gambar fail/Facebook (Melaka Hari Ini, JBPM Melaka)
MELAKA: Kerajaan Melaka mengucapkan takziah kepada lima sekeluarga yang terkorban dalam satu kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin di sini awal pagi tadi.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Melaka mengucapkan takziah kepada lima sekeluarga yang terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin. Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menzahirkan dukacita dan berdoa agar keluarga mangsa diberikan ketabahan.
  • Lima yang maut dikenali sebagai Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4. Bapa, Muhammad Khairuddin Sa'ari, 35, terselamat.
  • Ab Rauf dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam meluangkan masa kira-kira sejam menyantuni Muhammad Khairuddin yang menerima rawatan di Hospital Jasin dan memberi sokongan kepada mangsa yang kehilangan isteri dan empat anak.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu muat naik di Facebook turut menzahirkan dukacita yang amat mendalam di atas tragedi yang menimpa keluarga itu.
"Saya berdukacita di atas musibah yang menimpa dan berdoa agar semua keluarga mangsa diberikan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh semua mangsa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, Al-Fatihah," katanya.
Lima yang maut dalam kebakaran itu dikenali Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, manakala bapa, Muhammad Khairuddin Sa'ari, 35, terselamat.
Terdahulu, Ab Rauf mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyantuni Muhammad Khairuddin yang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jasin.
Mereka meluangkan masa kira-kira sejam untuk bertanyakan khabar Muhammad Khairuddin dan memberi sokongan kepada mangsa yang kehilangan isteri dan empat anak dalam kejadian berkenaan.
-- BERNAMA
#Ab Rauf Yusoh #lima sekeluarga maut #Kampung Berangan Enam Umbai #Laila Fathinah Mustapa #Nur Damia Batrisyia Abdullah
;