Kerajaan masih berteka-teki isu kenakan GST ke atas petrol dan diesel

T K Letchumy Tamboo
Jun 6, 2014 15:36 MYT
Kerajaan masih berteka-teki isu mengenakan GST ke atas petrol dan diesel
Kerajaan masih bermain teka-teki mengenai rasionalisasi subsidi terutamanya untuk bahan api seperti petrol dan diesel yang diwar-warkan akan diperkenalkan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata subsidi itu adalah sesuatu yang mungkin jadi atau tidak dan perkara itu seharusnya diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersama Menteri Kewangan.
“Ia mungkin jadi, ia mungkin tak jadi. Saya tak boleh nak beritahu secara tepat. Jadi ia tidak boleh dianggap sebagai satu kenyataan yang pasti.
“Ia boleh berlaku. Ia boleh tidak berlaku,” katanya semasa satu taklimat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada aktivis media sosial hari ini.
Ahmad Maslan menerangkan bahawa dari segi prinsipnya, subsidi perlu bersasar dan menolong kumpulan yang susah.
“Subsidi dari segi prinsipnya tidak boleh tersasar untuk menolong orang kaya. Kita ingin memperbetulkan sistem itu. Bila masanya? Itu ada jawatankuasa-jawatankuasa yang menelitinya dan saya tidak boleh hendak mengumumkan bagi pihak jawatankuasa itu,” katanya.
Beliau juga berkata belum ada lagi kepastian bahawa petrol akan dikenakan GST.
“Kita ada bincangkan tentang 255 barangan (yang akan dikenakan GST) itu. Bila tiba masanya, kita akan umumkan.
“Ia mungkin akan disekalikan dengan mekanisme rasionalisasi subsidi. Itu sebab saya tidak dapat menyatakan dengan pasti. Itu memerlukan keputusan Kabinet,” katanya.
Beliau menambah bahawa mulai Januari 2015, kerajaan akan mengeluarkan ‘shopper’s guide’ untuk memberi panduan untuk pengguna tentang barangan yang peratusan harganya naik atau tidak berubah.
#Ahmad Maslan #GST #petrol #subsidi
;