Kerajaan masih ada ruang kawal perbelanjaan negara - Rafizi

Bernama
Mac 1, 2023 12:20 MYT
Rafizi berkata kerajaan harus melihat GST sebagai mekanisme pungutan cukai yang lebih baik bukan mekanisme untuk kerajaan mengutip cukai lebih banyak.- Fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih ada ruang untuk mengawal perbelanjaan negara terutama perbelanjaan pembinaan supaya lebih berhemah dan lebih tepat dengan perancangan, secara tidak langsung membantu kerajaan daripada segi keperluan hasil yang lebih baik.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sekiranya mampu mengawal perlaksanaan sesebuah projek yang diluluskan dengan baik dan memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan perbelanjaan yang telah diperuntukkan tanpa kenaikan kos dari setahun ke setahun, sudah tentu keperluan untuk kita berbelanja makin berkurangan.
"Bila keperluan itu kurang, projek berjalan baik dan tiada kelewatan, oleh kerana kita berada dalam kedudukan defisit perbelanjaan, kuranglah keperluan peruntukan dan kurang berhutang.
"Justeru, bagi tempoh 12 ke 15 bulan ini, tiada keperluan untuk (pengenalan) cukai baharu, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan sebagainya. Kita mengatur perlaksanaan projek dengan lebih baik...itu akan membantu menambah hasil kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada acara HSBC Asian Business Forum di sini hari ini.
Selain itu, Rafizi berkata kerajaan harus melihat GST sebagai mekanisme pungutan cukai yang lebih baik bukan mekanisme untuk kerajaan mengutip cukai lebih banyak.
-- BERNAMA
#perbelanjaan negara #Rafizi Ramli #GST #Anwar Ibrahim
;