Kerajaan mampu laksana inisiatif Ekonomi MADANI - Ahmad Maslan

Bernama
Ogos 4, 2023 11:30 MYT
Ahmad bercakap kepada pemberita ketika menghadiri sesi Ruang Bicara bertajuk Bantuan Kerajaan MADANI Memanfaatkan Rakyat di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, 3 Ogos 2023. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat mampu direalisasikan oleh Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata kerangka Ekonomi MADANI dilaksanakan dengan mengambil kira kemampuan jumlah perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 billion yang telah diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini.
"Kenapa kita kata duit itu ada, kerana kita mengutip hasil daripada cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam, serta perolehan dividen tertentu," katanya menerusi program Ruang Bicara bertajuk "Bantuan Kerajaan MADANI memanfaatkan rakyat" terbitan Bernama TV, malam tadi.
Menurut Ahmad pihak kementerian turut digalakkan supaya menggunakan keseluruhan sumber yang telah diperuntukkan dalam melaksanakan inisiatif yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
"Usaha ini bukan hanya dilakukan oleh sesebuah kementerian, ia dilakukan oleh semua kementerian, maka Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah meminta semua kementerian menggariskan inisiatif yang bakal dilaksanakan.
"Namun jika ada bajet tambahan yang diperlukan, mereka perlu memohon kepada Kementerian Kewangan sebelum kita bentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober depan," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata sesi libat urus berkaitan Belanjawan 2024 yang berlangsung sejak beberapa minggu lepas telah memberi penekanan terhadap usaha memperkasakan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
"Pihak kementerian, sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan dan agensi yang terlibat dengan sesi tersebut juga telah diterangkan mengenai konsep Ekonomi MADANI yang akan dilaksanakan.
"Mereka yang hadir adalah terdiri daripada pihak yang berkaitan dalam merangka Belanjawan 2024 serta telah memahami sedikit sebanyak berhubung konsep yang telah diterangkan," tambah beliau.
-- BERNAMA
#ekonomi madani #Ahmad Maslan #Kerajaan Perpaduan #Belanjawan 2023
;