Kerajaan Malaysia lancar prospektus tenaga lestari di COP28

Bernama
Disember 5, 2023 23:03 MYT
Menteri NRECC Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keperluan mendesak untuk Malaysia beralih kepada tenaga mampan didorong oleh komitmen global, khususnya Perjanjian Paris dan keperluan untuk memperkukuh kepelbagaian ekonomi dan keselamatan tenaga. - BERNAMA
DUBAI: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) hari ini melancarkan prospektus Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia untuk menunjukkan hasrat strategik Malaysia dalam memajukan "peralihan tenaga yang adil" pada Persidangan ke-28 Pelbagai Pihak (COP28) di sini.
Prospektus itu berfungsi sebagai ekspresi keterbukaan Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa, menggariskan usaha meluas yang telah diambil oleh negara dalam mengubah sistem tenaganya menjadi satu dengan jejak karbon yang lebih rendah serta komitmen berterusannya dalam memastikan peralihan yang adil dan bertanggungjawab.
Menteri NRECC Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keperluan mendesak untuk Malaysia beralih kepada tenaga mampan didorong oleh komitmen global, khususnya Perjanjian Paris dan keperluan untuk memperkukuh kepelbagaian ekonomi dan keselamatan tenaga.
"Pelancaran prospektus Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia menandakan komitmen kami ke arah peralihan tenaga dengan rancangan untuk mempercepatkan penyahkarbonan dalam penjanaan tenaga, membangunkan grid moden dan fleksibel, serta menerima inovasi dan memperkasakan pengguna.
"Dengan ini, kami mengalu-alukan kerjasama perdagangan, teknikal dan dasar dengan rakan kongsi global dalam usaha kolektif kami untuk sistem tenaga rendah karbon dan masa depan yang mampan," katanya semasa majlis pelancaran prospektus berkenaan di Pavilion Malaysia pada COP28.
Nik Nazmi berkata menyedari peranan penting tenaga dalam cabaran iklim, Malaysia mengakui bahawa tindakan secara berkerjasama dalam industri adalah penting dalam perjalanannya untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui kepada 70 peratus pada 2050 daripada 25 peratus pada masa ini.
"Matlamat ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di bawah Perjanjian Paris, menyasarkan pengurangan 45 peratus dalam intensiti karbon kepada KDNK pada 2030 berbanding paras 2005," tambahnya.
Prospektus itu dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda), Suruhanjaya Tenaga (ST), Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) serta Tenaga Nasional Bhd (TNB). Ia membentangkan rancangan dan strategi Malaysia untuk syarikat-syarikat berkaitan tenaga memulakan dan menyumbang kepada aspirasi negara bagi mencapai peralihan tenaga yang mampan.
-- BERNAMA
#NRECC #prospektus tenaga lestari #COP28 #Nik Nazmi Nik Ahmad
;