Kerajaan Malaysia ambil langkah berani tetapkan garis kemiskinan berdasarkan realiti - Pelapor Khas PBB
Astro Awani
Julai 11, 2020 00:07 MYT
Julai 11, 2020 00:07 MYT
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berani untuk menetapkan garis kemiskinan berdasarkan realiti semasa.
Menurut Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston, ini kerana garis kemiskinan yang dilaporkan baru-baru ini adalah dua kali ganda berbanding sebelumnya.
Malah, jelasnya keputusan kadar garis kemiskinan secara rasmi adalah 14 kali lebih tinggi berbanding laporan tahun-tahun sebelumnya.
“Kerajaan negara itu kini meningkatkan dua kali ganda kadar garis kemiskinan, dari 0.4 peratus kepada 5.6 peratus.
“Tetapi kerana kadar kemiskinan baharu iaitu 5.6 peratus hanya satu pertiga daripada yang dianggarkan oleh hampir semua penganalisis bebas, saya berharap kerajaan akan memasukkan tanda aras yang lebih realistik dalam Rancangan Malaysia ke-12.
“Ini kerana menyelaraskan garis kemiskinan adalah langkah utama. Cabarannya ketika ini adalah untuk mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial yang komprehensif dan memberikan ketelusan data yang lebih luas bersesuaian dengan apa yang digunakan oleh negara-negara demokratik,” jelasnya menerusi perkongsian di Twitter pada Sabtu.
BACA:
Justeru, katanya, kerajaan perlu memandang serius nasib jutaan nasib bukan warganegara yang secara tidak langsung mempengaruhi kadar rasmi garis kemiskinan negara.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Maalysia hari ini menetapkan sebanyak RM2,208 bagi tahun 2019 berbanding RM980 sebulan pada 2016.
Angka tersebut merupakan nilai PGK baharu yang diperolehi setelah kerajaan mengkaji semula metodologi pengiraan yang digunakan pakai sejak 2005.