Kerajaan mahu pastikan ekosistem e-sukan lebih mampan dan inklusif - Reezal Merican

Firdaus Azil
November 16, 2020 18:30 MYT
Industri e-sukan dilihat mampu menjana ekonomi, dan pada masa yang sama melahirkan bakat terkenal tempatan ke persada antarabangsa. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan ekosistem e-sukan negara sentiasa rancak, dan pada masa yang sama, bersifat mampan, serta inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, industri itu dikenal pasti antara yang mampu menjana ekonomi, dan pada masa yang sama melahirkan bakat terkenal tempatan yang berpotensi untuk ke peringkat global.
Reezal Merican berkata, ekosistem itu seharusnya bukan sahaja melindungi kebajikan atlit e-sukan, tetapi ia juga mampu memastikan keterangkuman di mana kesemua rakyat Malaysia tanpa kira kaum, agama, dan jantina, dapat bersama-sama menceburkan diri dalam industri itu.
“Saya mahu menggalakkan keterangkuman dalam ekosistem ini. Saya mahu pemain dari kawasan pendalaman juga mempunyai peluang untuk bertanding, dan wanita muda kita menceburkan diri dengan aktif dalam bidang ini. Saya mahu kesemua lapisan masyarakat, tua atau muda, untuk sama-sama menunjukkan minat dalam e-sukan.
“Tetapi dalam usaha kita untuk memupuk ekosistem yang meriah, mampan, dan inklusif, kita harus memahami sejarah e-sukan Malaysia, dan mampu mengenalpasti arah dan tujuan industri tersebut di negara ini,” katanya lagi.
Reezal Merican berkata demikian ketika merasmikan siri Dokumentari Jalur 14 - “A Tale of 14 Heroes”, yang diterbitkan dengan kerjasama KBS, eGG Network, Impact Integrated, dan Astro Malaysia Holdings Bhd.
Mengulas mengenai dokumentari itu, beliau berkata, ia diharap dapat memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada semua pihak, dan juga untuk memberi inspirasi bagi melahirkan lebih ramai atlit berbakat.
Dokumentari Jalur 14 - “A Tale of 14 Heroes”, mengetengahkan beberapa individu penting dalam pembangunan sukan e-sukan Malaysia, serta suka duka mereka ketika menceburkan diri dalam bidang tersebut.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro Lee Choong Khay berkata, siri dokumentari itu menunjukkan kesungguhan Astro untuk memupuk bakat baharu dalam industri e-sukan.
Ujarnya lagi, tayangan selama lima siri itu akan mendedahkan bahawa e-sukan bukan semata-mata permainan video atau telefon bimbit, tetapi ia turut menceritakan impak kesemua 14 individu berkenaan dalam pembangunan industri itu.
#Reezal Merican Naina Merican #KBS #Astro #Jalur 14 #egg network #Lee Choong Khay #mobile legend #pubg #ekonomi #Malaysia #kerajaan #wanita #rakyat #rakyat Malaysia
;