Kerajaan mahu bayaran bantuan kewangan mangsa banjir Sarawak dipercepatkan
Bernama
Januari 23, 2015 19:03 MYT
Januari 23, 2015 19:03 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan pembayaran bantuan RM500 bagi setiap isi rumah yang menjadi mangsa banjir di Sarawak dipercepatkan.
"Tak perlu tunggu semua sudah siap, kalau satu bahagian atau daerah dah disahkan senarai nama, bantuan boleh diberi, jangan tunggu sampai sebulan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Miri di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, jabatan dan agensi kerajaan tidak perlu menunggu sehingga banjir pulih sepenuhnya di seluruh negeri Sarawak untuk diberi bantuan kerana mangsa banjir amat memerlukan bantuan kewangan segera.
"Kalau ada senarai yang tertinggal, jangan bimbang, bantuan kewangan boleh diberikan dengan syarat mesti berdaftar dan disahkan mangsa banjir," katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebelum ini dipetik sebagai berkata setiap keluarga mangsa banjir di Sarawak akan menerima RM500 manakala RM5,000 melibatkan kematian, sama jumlah dengan mangsa banjir di Semenanjung.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara membuat tinjauan melalui helikopter ke kawasan yang teruk dilanda banjir di Limbang.
Muhyiddin juga turut menghadiri taklimat dan mesyuarat pelarasan bantuan banjir Sarawak di pejabat Residen Limbang namun rancangan awal untuk melawat pusat pemindahan mangsa banjir Tedungan dan Bidang terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk.
Muhyiddin memohon maaf kepada mangsa banjir kedua-dua kawasan terbabit kerana tidak dapat melawat kawasan tersebut kerana helikopter tidak dapat mendarat.
Beliau berkata secara keseluruhan kerajaan persekutuan berpuas hati dengan pengurusan banjir di Sarawak namun usaha penambahbaikan akan dilakukan terutama sekali menambah aset-aset seperti bot-bot besar untuk membawa mangsa banjir nanti.
"Kerajaaan menyediakan pelbagai bantuan pasca banjir (oleh itu), saya berharap semua mangsa banjir membuat permohonan mendapatkan bantuan seperti bantuan pembinaan semula rumah dan pertanian," katanya.