Kerajaan MADANI rakam takziah kepada keluarga Tun Abdul Taib Mahmud - PM

Bernama
Februari 21, 2024 11:15 MYT
Anwar berkata jasa dan bakti Allahyarham kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pentadbiran Kerajaan MADANI hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook turut mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Sarawak di atas kehilangan itu.
"Berdukacita atas pemergian bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud awal pagi tadi.
"Sesungguhnya kita, terutama rakyat negeri Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan yang dihormati," kata Perdana Menteri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jasa dan bakti Allahyarham kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya.
"Al-Fatihah," katanya.
Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi ini.
Pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan.
-- BERNAMA
#Abdul Taib Mahmud #Anwar Ibrahim #Kerajaan Madani #negarawan
;