Kerajaan MADANI pastikan semua dasar, inisiatif jadi keutamaan agenda kebajikan rakyat

Astro Awani
Oktober 15, 2024 10:30 MYT
Anwar ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil.2/2024 di Putrajaya, pada Isnin. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan memastikan semua dasar dan inisiatif direncana mengutamakan agenda kebajikan rakyat bagi memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada menikmati pembangunan dan kemakmuran negara.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil.2/2024 di Putrajaya, pada Isnin.
"Mesyuarat ini adalah platform untuk kerajaan menekuni permasalahan kos sara hidup serta berbincang mengenai kaedah terbaik dalam meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
"Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan bahawa indikator ekonomi Malaysia yang menunjukkan prestasi memberangsangkan kebelakangan ini, hanya mampu dimaknai sekiranya ia diterjemah dalam kehidupan rakyat terbanyak.
"Dalam ruang yang sama, saya meminta Ketua Setiausaha Negara memastikan tindakan segera diambil oleh Kementerian dan Agensi berkaitan setelah sesuatu keputusan dicapai," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.
Pada masa sama, Anwar turut mengulangi gesaan menuntut perkhidmatan awam menekankan aspek kepantasan, ketelusan dan penjimatan bagi meningkatkan tatakelola dan mutu penyampaian perkhidmatan.
#Kerajaan Madani #Anwar Ibrahim #kebajikan rakyat #Majlis Tindakan Sara Hidup Negara
;