Kerajaan luluskan tambahan 3,500 petugas kesihatan

Ridauddin Daud
Februari 10, 2021 15:45 MYT
Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Kementerian Kesihatan juga telah membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah seramai 11,280 petugas kesihatan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Pakej BantuanPerlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) telah meluluskan pengambilan 3,500 petugas kesihatan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengambilan petugas tambahan itu bermula pada akhir Januari 2021.
“Melalui peruntukan dana tambahan RM3.25 bilion melalui Pakej Bantuan PERMAI bagi tahun 2021 untuk menangani wabak COVID-19, Kementerian Kesihatan juga telah membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah seramai 11,280 petugas kesihatan bagi usaha menangani pandemik COVID-19 dan mengekalkan mutu perkhidmatan.
“Yang sama penting adalah untuk memelihara kebajikan para kakitangan barisan hadapan,” katanya dalam Laporan LAKSANA ke-40 dalam laman Facebook beliau pada Rabu.
Tambah beliau, Belanjawan 2021 juga telah memperuntukkan RM1 bilion bagi penyediaan dana tambahan yang tertumpu kepada bekalan seperti tambahan reagen dan kit saringan, serta peralatan PPE terutama kepada petugas kesihatan.
“Kita harapkan dengan adanya pertambahan saringan, berikutan arahan kepada majikan untuk melaksanakan ujian saringan kepada pekerja mereka.
“Maka dapatlah kita mengenal pasti mereka yang bergejala dengan lebih pantas dan pengasingan dapat dilakukan dengan segera untuk mengekang penularan wabak,” ujarnya.
Menurutnya, meskipun majikan perlu menanggung kos saringan COVID-19, melalui Pakej Bantuan PERMAI mereka akan mendapat potongan cukai berganda bagi kos tersebut manakala PERKESO akan menampung kos saringan pekerja asing di zon merah.
“Insentif pengecualian cukai ini turut dinikmati oleh individu yang mengeluarkan perbelanjaan bagi melakukan saringan COVID-19,” katanya.
#Zafrul Aziz #Menteri Kewangan #ekonomi #PENJANA #LAKSANA #PERMAI #kerajaan #Kementerian Kesihatan #KKM #petugas kesihatan #rakyat #kesihatan #COVID-19 #pekerja asing #Belanjawan 2021 #menteri #ujian saringan
;