Kerajaan luluskan pembangunan bernilai RM153 juta di Pulau Sebatik

Petrus Bernard
April 26, 2022 09:10 MYT
Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kelulusan itu diumumkan oleh kerajaan dalam rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) lalu. - Foto Bernama
TAWAU: Kerajaan telah meluluskan tiga projek infrastruktur bernilai RM153 juta di Pulau Sebatik di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan akan dilaksanakan segera pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kelulusan itu diumumkan oleh kerajaan dalam rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) lalu.
Antara projek tersebut adalah pembinaan jalan dari Kampung Sungai Pukul ke Kampung Bergosong, pembinaan jalan dari Kampung Sungai Melayu ke Kampung Sungai Pukul dan Klinik Kesihatan Jenis Enam di Kampung Sungai Tamang.
Projek tersebut akan memberi manfaat kepada kira kira 5,000 penduduk.
"Sungai Pukul ke Bergosong RM59 juta, kemudian dari Sungai Melayu ke Sungai Pukul RM94 juta dan ini sudah lulus dan akan dilaksanakan pada tahun ini insyaAllah kita akan buat," katanya.
Tambahnya lagi, nilai projek pembinaan klinik kesihatan bagaimanapun belum dimuktamatkan.
Katanya sebagai pulau yang agak ketinggalan dari segi keperluan infrastruktur, banyak lagi pembangunan di Pulau Sebatik yang perlu diberi perhatian pihaknya dan akan dibawa ke peringkat atasan.
"Ada banyak perkara yang perlu diambil perhatian oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menaik taraf sama ada jalan raya, sama ada jeti dan juga bekalan air luar bandar yang patut diambil tindakan.
"InsyaAllah saya dan juga Datuk KSU dan juga Datuk Jahid selaku Menteri Luar Bandar Sabah, kita telah pun bersetuju untuk mengkordinasi," katanya.
Mahdzir ditemui ketika lawatannya ke Pulau Sebatik pada Isnin.
Beliau juga turut berkesempatan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk sekitar Pulau Sebatik.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andy Muhammad Suryady Bandy dan Presiden Majlis Berbandaran Tawau, Joseph Pang.
#Pulau Sebatik #projek instrastruktur #Mahdzir Khalid #Kementerian Pembangunan Luar Bandar
;