Kerajaan lulus RM5 juta bantu pesara kerajaan

Harits Asyraf Hasnan
April 13, 2015 10:09 MYT
Kerajaan terus komited membantu pesara kerajaan daripada pelbagai aspek demi meneruskan kelangsungan hidup. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Kerajaan terus komited membantu pesara kerajaan daripada pelbagai aspek demi meneruskan kelangsungan hidup.
Menerusi peruntukan permulaan RM5 juta yang disalurkan kepada Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia, ia dilihat sebagai platform kepada yayasan itu menjalankan aktiviti kepada pesara kerajaan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap melancarkan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia pada Isnin.
Najib berkata, peruntukan itu menunjukkan kerajaan masih membela nasib pesara kerajaan berdasarkan jasa dicurahkan golongan itu ketika berkhidmat.
Menurutnya, penubuhan yayasan itu juga antara lain membantu memelihara dan menjaga kebajikan pesara kerajaan.
Perdana Menteri ketika melancarkan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Ujarnya, sebuah organisasi diperlukan untuk menjadi perantara di antara pesara dan kerajaan yang boleh diajak berunding bagi merumus sesuatu supaya kesejahteraan pesara dapat dipertimbangkan kerajaan mengikut kemampuannya.
Yayasan tersebut menaungi 25 persatuan dan kelab pesara yang akan bertindak sebagai penyelaras di antara pesara dan kerajaan.
Selain isu elaun dan pencen, Najib berkata soal perumahan dan kesihatan harus dibincangkan dari hati ke hati bagi melindungi kebajikan penjawat awam selepas mereka bersara.
#Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia #Najib Razak #pesara #Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia