Kerajaan lulus peruntukan RM77 juta latih individu diberhentikan kerja
Bernama
Disember 17, 2015 17:59 MYT
Disember 17, 2015 17:59 MYT
Kerajaan meluluskan peruntukan RM77 juta kepada 1Malaysia Outplacement Centre untuk memberi latihan kemahiran yang diperlukan golongan yang diberhentikan kerja bagi membolehkan mereka kembali mendapat pekerjaan.
Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di bawah Kementerian Sumber Manusia dijangka membantu kira-kira 8,000 individu yang diberhentikan kerja memperoleh kemahiran melalui pelbagai latihan agar mereka dapat memasuki pasaran pekerjaan.
"Setiap tahun, kira-kira 15,000 hingga 16,000 orang diberhentikan kerja, manakala kadar pengangguran ialah 3.1 peratus," kata ketua pegawai eksekutif HRDF Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran pada majlis perasmian Pusat Kecemerlangan bagi Meneruskan Pembangunan Profesional (CPD) di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini hari ini.
Pusat itu dijangka mula membuat pengambilan pelatih menjelang separuh kedua 2016.
"Negara seperti Jepun dan Korea Selatan mempunyai pusat seperti ini, jadi kami cuba mencontohinya di sini dan menstabilkan pasaran pekerjaan. Majikan sering datang memaklumkan kepada kami bahawa pekerja tidak memiliki kemahiran, jadi kami beri mereka kemahiran yang diperlukan majikan," katanya.
Vignaesvaran berkata apabila program itu berjalan sepenuhnya, lebih banyak pusat serupa akan dibuka di seluruh negara memandangkan kini ia hanya terdapat di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Katanya latihan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan harapan para 'pelajar' akan memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk memajukan diri masing-masing dan seterusnya memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan mereka.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptama pada majlis itu, Vignaesvaran berkata HRDF sedang melalui proses transformasi.
"Sejajar dengan itu, kami beralih untuk memberi tumpuan kepada permintaan, di mana syarikat menentukan apa yang perlu dilakukan dan setiap latihan akan diberi persijilan oleh pihak tertentu," katanya.
CPD dilancarkan Institut Pembangunan Profesional (IPD), manakala Vignaesvaran melancarkan secara rasmi Program Persijilan Profesional yang diamanahkan IPD kepada Impian Helang Sdn Bhd, yang memainkan peranan sebagai tonggak bagi pembangunan profesional.
Majlis itu turut dihadiri presiden/naib canselor OUM Prof Tan Sri Anuwar Ali, ketua pegawai eksekutif METEOR Sdn Bhd Prof Ahmad Hashem, pengarah urusan Impian Helang Sdn Bhd Rita Krishnan dan pengarah IPD Prof Madya Yon Rosli Daud.
#1Malaysia Outplacement Centre
#berhenti kerja
#HRDF
#latihan kemahiran
#Tabung Pembangunan Sumber Manusia