Kerajaan lulus hampir RM50 juta bina lebih 3,000 kiosk dengan panel solar

Bernama
Julai 28, 2023 23:03 MYT
Nga berkata setiap kiosk, dengan kos pembinaan antara RM15,000 dan RM20,000 seunit, dibina dengan reka bentuk dan warna seragam iaitu merah dan putih serta dilengkapi panel solar sebagai langkah menggalakkan amalan teknologi hijau. - Gambar Bernama
SEPANG: Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM49.14 juta kepada 113 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pembinaan dan menaik taraf 3,173 kiosk perniagaan yang dilengkapi panel solar, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
"Ini ialah kios hijau pertama dalam negara berbekalkan tenaga solar, tidak menggunakan elektrik. Peniaga bukan sahaja boleh berniaga pada waktu siang, malah pada waktu malam juga," katanya.
Nga berkata sebanyak 100 kiosk di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Perbandaran Port Dickson telah siap dibina, manakala baki 3,073 kiosk perlu disiapkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Nga berkata setiap kiosk, dengan kos pembinaan antara RM15,000 dan RM20,000 seunit, dibina dengan reka bentuk dan warna seragam iaitu merah dan putih serta dilengkapi panel solar sebagai langkah menggalakkan amalan teknologi hijau.
"Peniaga kecil boleh menjalankan perniagaan mereka secara berlesen dan selesa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan MyKiosk di sini hari ini, serta menambah kadar sewa seunit kiosk itu ialah RM300 sebulan.
Februari lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.
Nga berkata pemantauan secara berkala akan dilakukan PBT bagi memastikan kiosk tersebut tidak disewa kepada mana-mana pihak khususnya warga asing.
"Lesen perniagaan akan dibatalkan serta-merta sekiranya terdapat peniaga menyewakan kiosk mereka," katanya.
Terdahulu dalam ucapanya, Nga mengumumkan pengecualian sewa untuk enam bulan pertama kepada peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di Tapak MyKiosk Taman Putra Perdana di sini.
Peniaga pastri, Nurul Azean Ezzaty Mustapha, 33, menyifatkan pengecualian sewaan kiosk itu sebagai rezeki tanpa diduga selepas kira-kira dua tahun menjalankan perniagaan dari rumah.
"Saya sangat seronok sebab tak payah bayar sewa selama enam bulan. Dapatlah saya guna lebih sedikit untuk beli barang keperluan berniaga," katanya.
-- BERNAMA
#panel solar #amalan teknologi hijau #pbt #kiosk
;