Kerajaan lulus Bantuan Khas COVID-19 RM28.6 juta, Bantuan Pengurusan Kematian RM59.08 juta

Firdaus Azil
Disember 13, 2021 13:41 MYT
Tiada peruntukan khusus 2022 daripada Kerajaan bagi bantuan ini kerana ia menggunakan Tabung COVID-19 NADMA yang menerima sumbangan daripada orang ramai, entiti korporat, institusi Di Raja dan anggota Pentadbiran, kata Datuk Mastura Yazid
KUALA LUMPUR: Sehingga 6 Disember tahun ini, 65,189 permohonan Bantuan Khas COVID-19 telah diterima, dengan 55,184 permohonan diproses, dan 22,336 permohonan telah diluluskan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Yazid berkata, kesemua permohonan yang lulus telah menerima bantuan sebanyak RM28.6 juta.
Bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 pula, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berkata, daripada 24,305 permohonan yang diterima, 14,818 permohonan telah diproses, dan 11,816 permohonan telah dilulus melibatkan bantuan sebanyak RM59.08 juta.
"Tiada peruntukan khusus 2022 daripada Kerajaan bagi bantuan ini kerana ia menggunakan Tabung COVID-19 NADMA yang menerima sumbangan daripada orang ramai, entiti korporat, institusi diraja dan anggota Pentadbiran.
“Sehingga kini, Kerajaan telah memberi sumbangan awal berjumlah RM61 juta dan sekiranya berlaku gelombang seterusnya, Kerajaan akan menambah dana bagi menampung keperluan sekiranya baki Tabung COVID-19 NADMA tidak lagi mencukupi untuk membuat bayaran,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Ting dari PH-DAP, yang ingin mengetahui statistik terkini mengenai permohonan, dan kelulusan Bantuan Khas COVID-19, dan Bantuan Pengurusan COVID-19 di bawah pengurusan NADMA.
Selain itu, Khoo ingin mengetahui jumlah peruntukan kerajaan untuk dua bantuan tersebut bagi tahun 2022, termasuk langkah-langkah yang akan diambil untuk meningkatkan kadar permohonan.
Dalam pada itu, Mastura berkata, kegagalan permohonan untuk diluluskan adalah kerana ia tidak menepati syarat yang ditetapkan.
"Selalunya permohonan tidak lengkap, dan untuk Bantuan Khas COVID-19 sebanyak RM100 sehari, ada yang mempunyai pendapatan gaji dalam tempoh pengawasan dan pemerhatian ketika menerima rawatan.
"Bagaimanapun saya tahu ada permohonan lewat tidak lepas, saya mohon terus kepada saya di Pejabat Tugas-Tugas Khas,” katanya lagi.
#Dewan Rakyat #Mastura Yazid #Tabung Khas COVID-19 NADMA #Bantuan Pengurusan Kematian COVID-19
;