Kerajaan lulus 1,165 permohonan bagi program pembiayaan TSPKS 2.0

Ridauddin Daud
Oktober 16, 2024 12:30 MYT
Johari berkata, TSPKS 2.0 lebih memfokuskan kepada program tanam semula sawit bagi pokok sawit yang tua dan tidak lagi produktif.
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan 1,165 daripada 2,311 permohonan pekebun kecil sawit bagi Program Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) sehingga Oktober 2024.

Ringkasan AI
  • Kerajaan telah meluluskan 1,165 permohonan pekebun kecil sawit untuk Program Pembiayaan Mudah Tanam Semula (TSPKS 2.0) dengan peruntukan RM52.9 juta, melibatkan keluasan 3,378 hektar.
  • TSPKS 2.0 bertujuan membantu pekebun kecil menanam semula pokok sawit yang tua dan tidak produktif bagi meningkatkan daya saing industri sawit negara.
  • Bagi tahun 2024, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk program ini, yang terdiri daripada 50% geran dan 50% pinjaman, khusus untuk pekebun kecil sawit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kelulusan itu melibatkan keluasan 3,378 hektar dan pembiayaan berjumlah RM52.9 juta.
“Bagi mempertingkatkan daya saing industri sawit negara, inisiatif penanaman semula amat penting bagi memastikan hasil sawit tidak terjejas disebabkan oleh pokok sawit yang menua.
“Bagi tahun 2024, Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta (50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman) bagi Program Pembiayaan Mudah Tanam TSPKS 2.0.
“TSPKS 2.0 ini lebih memfokuskan kepada program tanam semula sawit bagi pokok sawit yang tua dan tidak lagi produktif.
“Insentif ini adalah khas kepada pekebun kecil sawit sahaja. Peralihan tanaman getah kepada sawit tidak termasuk dalam skop insentif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Isa (BN - Tampin) yang bertanya jumlah pekebun kecil yang telah memanfaatkan Program Tanam Semula Sawit setakat ini.
#industri sawit #JOHARI ABDUL GHANI #Menteri Perladangan dan Komoditi #Dewan Rakyat
;