Kerajaan libatkan PIBG, Perkeso bantu murid kehilangan ibu bapa akibat COVID-19
Faris Danial Razi
September 17, 2021 00:19 MYT
September 17, 2021 00:19 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih kurang 4,000 murid dilaporkan telah kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya sekali akibat wabak COVID-19.
Malah, ada juga anak-anak yang tinggal dengan penjaga dan penjaganya juga dilaporkan meninggal dunia akibat wabak yang membunuh jutaan nyawa ketika ini.
Bagi Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Zainal Abas, pihaknya dalam Kementerian Pendidikan akan melibatkan beberapa pihak seperti wakil PIBG dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meringankan beban di samping melindungi emosi dan mental pelajar-pelajar.
“Jadi di peringkat kementerian, kita sentiasa bekerja rapat dengan pihak PIBG, untuk pihak sekolah bekerjasama dengan pihak PIBG untuk mendapatkan maklumat tentang murid-murid yang terkesan suapya mereka boleh dibantu.
“Pelbagai perancangan yang kita ada antaranya bekerjasama dengan PERKESO untuk membmanmtu menyelaraskan penyaluran bantuan daripada PERKESO kepada keluarga yang terkesan itu sendiri.
“Bagi murid-murid, kami ada perancangan sebenarnya untuk kita lihat bagaimana mereka boleh dibantu jika memerlukan untuk tinggal di asrama-asrama di KPM, kita boleh bantu dari segi itu,” jelasnya sewaktu rakaman dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Selain itu, Zainal menjelaskan bahawa program psikologi melalui bimbingan dan kaunseling, program Minda Sihat ini dengan kerjasama KKM juga akan dilaksanakan.
“Ia bagi membantu murid-murid ini di mana guru-guru kaunseling di sekolah ini sebenanrya akan bersemuka dengan murid-murid yang terkesan ini dan membantu dari segi menstabilkan emosi mereka dan mental mereka yang terkesan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh hos Agenda AWANI, Dzulfitri Yusop yang mengupas topik Pengoperasian Semula Sekolah.
Perbincangan penuh akan disiarkan pada jam 8.30 malam Sabtu atau 18 September di saluran 501 Astro AWANI dan juga di aplikasi Astro AWANI.