Kerajaan lemah: Jangan jadikan pembangkang 'kambing hitam' - Hishammuddin
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 16, 2019 14:41 MYT
Oktober 16, 2019 14:41 MYT
Tuduhan kononnya bakal wujud kerajaan baharu tanpa Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP adalah satu tohmahan, sekaligus menjadikan parti pembangkang sebagai 'kambing hitam'.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang didakwa mengetuai gerakan itu menepis tuduhan yang disifatkannya tidak berasas.
“Wujud tuduhan yang saya berkempen untuk mewujudkan kerajaan baharu meminggirkan DAP dan Amanah. Mohamad Sabu ada tadi (bersama saya).
“Saya tanya dia, nak kempen apa? Pilihan Raya Umum bukan esok, jadi saya tidak faham.
“Itu kenyataan rasmi parti. Saya tengok bahawa apa yang berlaku sekarang satu signal bahawa semuanya tidak baik dalam Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Pakatan Harapan menerusi kenyataan media yang tandatangani Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Datuk Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, Hishamuddin menggerakkan mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah.
Dakwaan ini disuarakan berdasarkan penulisan Hishammuddin dan wawancaranya yang kelihatan cenderung memberi isyarat akan kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.
Mengulas lanjut bekas Menteri Pertahanan itu menegaskan penulisannya sebelum ini berkisar tentang kesatuan, sama sekali tidak menyentuh tentang perkauman.
#Amanah
#DAP
#GERAKAN
#Hishammuddin Hussein
#kerajaan
#Mohamad Sabu
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#pembangkang
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PKR
#Saifuddin Abdullah