Kerajaan lancar MOJO MADANI, buku panduan Kewartawanan Peranti

Fahmi Izuddin
Disember 17, 2023 11:25 MYT
Tujuan Pembangunan Buku Panduan Kewartawanan Peranti MOJO MADANI iniu adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran pengamal media profesional termasuk kewartawanan awam
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menerusi Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) telah meluncurkan Buku Panduan Pelapor Mobile Journalism (MOJO) MADANI pada Jumaat.
Tujuan Pembangunan Buku Panduan Kewartawanan Peranti MOJO MADANI ini adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran pengamal media profesional termasuk kewartawanan awam (citizen journalists) yang semakin berkembang di negara ini untuk pelaporan yang pantas, sahih dan benar.
"Buku panduan ini direalisasikan menerusi usahasama pengamal media tempatan , ahli akademik daripada Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kementerian Komunikasi dan Digital, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
"Objektif penerbitan buku panduan ini untuk melahirkan pengamal media dan wartawan warga yang pantas, tepat dan beretika. Pembaca juga diharap dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dan kemahiran pelaporan wartawan peranti," ujar IPPTAR dalam satu kenyataan yang diedarkan.
Selain itu, naskhah yang julung kali diterbitkan ini turut dijadikan modul latihan pelaporan kewartawanan peranti dan rujukan pengajian kewartawanan dan media di institusi pengajian tinggi tempatan.
Antara isi kandungan Buku Panduan itu termasuk pengenalan kewartawanan peranti (MOJO), persediaan alatan dan teknologi MOJO, panduan penulisan berita, prinsip penyuntingan video dan etika kewartawanan sejagat.
Mengandungi 24 halaman, buku panduan ini memberi pengenalan kepada asas pelaporan peranti (MOJO), persediaan alatan dan teknologi MOJO, panduan penulisan skrip dan kata kunci, asas syot pelaporan, prinsip penyuntingan video dan etika yang berkaitan pelaporan.
Buku panduan yang julung kali diterbitkan di negara ini dijangka bakal memberi manfaat untuk dijadikan asas kepada modul latihan pelaporan wartawan peranti dan rujukan pengajian kewartawanan dan media di negara ini bagi tujuan peningkatan kemahiran selari teknologi dan inovasi terkini.
#kewartawanan #ipptar #MOJO MADANI #Fahmi Fadzil
;