Kerajaan lancar Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan
Afiezy Azaman
Mei 1, 2024 11:35 MYT
Mei 1, 2024 11:35 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkenalkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang julung kali buat Malaysia.
Menurut Menteri Steven Sim Chee Keong, kerangka itu akan mengandungi tiga Teras, 11 Strategi, 48 Prakarsa, lima Pemacu Perubahan dan dua Pemangkin Dasar.
Katanya, ia dihasilkan selepas mengambil kira maklum balas daripada pemegang taruh dan orang ramai melalui sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang, town hall dan portal kaji selidik dalam talian.
"Lebih 2,000 maklum balas diterima dan dijadikan pertimbangan untuk menghasilkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini.
"Kerangka dasar ini merangkumi isu-isu penting berkaitan pekerja seperti pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan dan gerakan kesatuan sekerja.
"Selain itu, ia termasuk perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh, tenaga kerja golongan rentan seperti wanita, warga emas dan OKU, hal ehwal pekerja sektor gig, isu-isu berkaitan latihan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan, tenaga kerja asing, kesan teknologi seperti AI ke atas pasaran kerja dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di sini hari ini.
Sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan dengan tema 'Pekerja Kesuma Bangsa' berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Mengulas lanjut, Sim berkata, kerangka itu seterusnya akan menjadi panduan untuk menghasilkan Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia Ke-13.
"KESUMA berharap akan menjadi antara kementerian pertama yang mempunyai dokumen dasar utama yang selaras dengan RMK-13 kelak," katanya.
#Steven Sim
#Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan
#Dasar Sumber Manusia Kebangsaan
#Kementerian Sumber Manusia