Kerajaan lancar kempen #Aid4Palestine
Nickyson Nyambar
Mei 12, 2021 00:44 MYT
Mei 12, 2021 00:44 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat #Aid4Palestine bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sekretariat berkenaan akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
"Sekretariat ini akan berfungsi sebagai koordinator jaringan badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, serta menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah ‘crowdfunding’ dengan sasaran bantuan RM1 juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, sekretariat ini juga mendapat kerjasama lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Setakat ini komitmen fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal sudah mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul NGO PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.
"Manakala kutipan fasa kedua minima RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal," tambahnya menerusi kenyataan sama.
Beliau berharap, segala usaha yang dilakukan memberi ganjaran dan pahala serta menunjukkan tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin.
Tegasnya, serangan berterusan dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah tindakan yang zalim dan wajib dikecam oleh semua rakyat dan pemimpin negara serta umat Islam seluruh dunia.
#Aid4Palestine
#Bantuan Malaysia
#kempen kesedaran
#perjuangan Palestin
#Free Palestin
#Datuk Seri Abdul Hadi Awang
#Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah
#Gaza
#Israel
#serangan Israel