Kerajaan laksana PKP di Sarawak bermula 29 Mei hingga 11 Jun
Nuzuluddin Abdul Razak, Fadilah Sulaiman
Mei 27, 2021 17:32 MYT
Mei 27, 2021 17:32 MYT
KUCHING: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sarawak berkuat kuasa 29 Mei hingga 11 Jun 2021.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, keputusan itu diambil bagi mengelakkan situasi COVID-19 yang lebih teruk di Sarawak.
"Mengambil kira situasi makin meruncing, varian COVID-19 baharu, kita perlu mengambil tindakan lebih drastik sebelum situasi lebih parah lagi," katanya pada Sidang Media Harian COVID-19 Sarawak pada Khamis.
Tambah Uggah SOP yang lebih ketat di bawah PKP dan kawalan pergerakan dalam tempoh beberapa minggu amat penting bagi membantu mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19.
Selain itu mengenai keputusan kerajaan menguatkuasakan PKP, beliau berkata peningkatan kes harian COVID-19 yang ketara dikesan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri melibatkan ziarah.
Katanya, sejak 9 sehingga 15 Mei, 3,272 kes dilaporkan dengan purata 467 kes sehari.
Dalam masa yang sama Uggah beri jaminan sepanjang PKP ini dilaksanakan, individu yang hendak keluar untuk mendapatkan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah dibenarkan.
“Kalau kita tengok nanti apabila SOP dipaparkan, sebab-sebab masyarakat dibenarkan untuk keluar antaranya adalah untuk mendapat vaksinasi. Jadi mereka dibenarkan pergi ke pusat vaksinasi,” jelasnya.
Malah, katanya program imunisasi di negeri itu akn diperhebatkan lagi dengan menjangkakan ketibaan bekalan vaksim yang banyak dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Sebenarnya kali ini kita akan mengukuhkan program vaksinasi kita. YB Khairy Jamaluddin akan datang sini esok, beliau akan memberitahu kami secara terperinci mengenai jumlah vaksinasi, jumlah vaksin yang dia hantar, kita nak bertanya kepada dia untuk bulan Jun, Julai dan Ogos,” katanya.
#COVID-19
#PKP Sarawak
#Pelaksanaan PKP
#Sarawak
#Pandemik COVID-19
#Douglas Uggah Embas
#Pengerusi JPBN Sarawak
#JPBN Sarawak