Kerajaan laksana kawalan jangkitan pandemik di tiga PTS
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 1, 2020 21:23 MYT
November 1, 2020 21:23 MYT
KOTA KINABALU: Selepas direkodkan sebagai kluster baharu, Pusat Tahanan Sementara PTS di Menggatal kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pelaksanaan PKPD di PTS Kota Kinabalu yang menempatkan seramai 1,820 pendatang asing tanpa izin (PATI) itu bermula 3 November ini.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun bagi mengekang penularan Kluster Rumah Merah tersebut, satu usaha telah digerakkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
"Bagi mengekang penularan wabak, JKNS telah membuat kawalan jangkitan pandemik ini di tiga PTS iaitu Tawau, Papar dan Kota Kinabalu.
"Bagi PTS Kota Kinabalu, saringan secara bersasar melibatkan sebahagian orang tahanan dan anggota keselamatan yang bertugas di PTS tersebut telah dibuat dan dikuarantinkan di kawasan PTS.
"PTS tersebut menempatkan seramai 114 orang kakitangan dan semua aktiviti keluar masuk ke pusat tahanan serta lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Pada Jumaat, PTS Kota Kinabalu merekodkan kluster baharu yang melibatkan seramai 57 tahanan.
Tambah Masidi, bilangan daerah yang diletakkan di zon merah bertambah kepada 17 daerah dan sembilan daerah lain di zon kuning.
"Daerah Beaufort bertukar ke zon merah dan tiada kluster baharu dilaporkan. Manakala jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri Sabah pada hari ini adalah sebanyak 644 kes dan tiada kematian dicatatkan.
"Sehingga hari ini, bilangan pesakit COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seramai 71 orang manakala 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,"ujarnya.
Jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa prihatin kepada setiap keperluan JKNS dalam memerangi penularan wabak COVID-19.
"Bermula hari ini tiga Pegawai Perubatan Pakar akan ditempatkan di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan, 12 Pegawai Perubatan akan ditempatkan di Hospital Tawau dan Hospital Queen Elizabeth, manakala sembilan Jururawat akan ditempatkan di Hospital Tawau.
"Setakat ini bantuan sumber manusia yang telah diterima JKNS adalah seramai 43 Pegawai Perubatan Pakar, 150 Pegawai Perubatan dan 255 Jururawat tetap dan kontrak," tambahnya.
#Pusat Tahanan Sementara
#PTS
#Menggatal
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
#PKPD
#Masidi Manjun
#Kluster Rumah Merah
#Kota Kinabalu
#COVID-19
#Sabah