Kerajaan, KWSP akan permudahkan proses kelulusan i-Sinar

Astro Awani
Februari 18, 2021 13:25 MYT
Menurut Zafrul, kerajaan sentiasa peka kepada kelangsungan hidup bagi golongan rentan dan mereka yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kerajaan telah berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mempermudahkan proses kelulusan pengeluaran i-Sinar.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah memohon atau permohonan sedang diproses.
“Ini akan melibatkan perubahan kepada sistem KWSP, yang akan mengambil sedikit masa. Masa juga diperlukan untuk membekukan transaksi buat sementara waktu.
BACA: Sah! Tiada lagi syarat buat pengeluaran i-Sinar
“Ia bagi membolehkan sistem KWSP untuk mengkreditkan dividen bagi tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada hujung bulan Februari ini,” katanya menerusi Laporan LAKSANA ke-41 pada Khamis.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa peka kepada kelangsungan hidup bagi golongan rentan dan mereka yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19.
Pengeluaran i-Sinar | Utamakan keperluan daripada kemahuan
“Pengumuman pada 14 Februari mengenai pelanjutan tarikh tutup bagi pendaftaran baharu dan kemaskini bagi Bantuan PRIHATIN Rakyat (BPR).
“Tempoh yang sebelum ini dibuka dari 15 Januari 2021 sehingga 15 Februari 2021 telah dilanjutkan sehingga 25 Februari 2021.
“Ini bagi memastikan BPR akan diterima oleh mereka yang benar-benar layak,” ujarnya.
Tambahnya, langkah-langkah tersebut diharap dapat membantu rakyat mengharungi cabaran semasa akibat pandemik.
#i-sinar #KWSP #EPF #kerajaan #menteri #COVID-19 #pandemik #rakyat #Tengku Zafrul #Menteri Kewangan #permudahkan #Proses #lulus #kelulusan
;