Kerajaan kukuh antara faktor utama pelabur minat datang ke Malaysia - PM Anwar

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 5, 2024 08:45 MYT
Perdana Menteri Anwar (kanan) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin. - Gambar Pejabat Perdana Menteri
MELBOURNE : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan yang berada dalam keadaan kukuh ketika ini antara faktor utama pelabur terus berminat untuk datang ke Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, ini dibuktikan dengan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan institusi membolehkan kerajaan yang stabil dengan majoriti lebih dua pertiga berjaya dibentuk, selepas pada awalnya berlaku sedikit ketidaktentuan dan ketidakstabilan.
“Sejak beberapa bulan lalu, kami telah memperkenalkan pelbagai dasar baharu yang jelas, selain agenda ekonomi dalam pelan perindustrian dan peralihan tenaga.
“Saya merasakan disebabkan itulah kami berjaya memperoleh pelaburan domestik dan asing tertinggi pernah direkodkan, yang mengesahkan tahap keyakinan dan kepimpinan baharu,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Meja Bulat bersama Pemimpin Industri, di sini, hari ini.
Hadir sana, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Perdana Menteri sebelum itu mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.
Kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai kemajuan inisiatif yang dipersetujui bersama yang secara langsung akan menambah nilai kepada usaha merapatkan hubungan dua hala.
Katanya lagi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diberikan mandat untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing.
“Sudah pasti kami bernasib baik, (berada) dalam rantau ekonomi paling pantas berkembang di dunia (ASEAN) di mana kami akan menjadi pengerusi tahun depan.
“Namun, terdapat dimensi baharu..antaranya (Kerangka Kerjasama) ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di mana mesyuarat awal diadakan tahun lalu bersama UAE (Emiriah Arab Bersatu), Arab Saudi, Qatar dan lain-lain telah memutuskan untuk bersama lagi tahun depan.
“Justeru, saya merasakan kami sedang bergerak ke hadapan dan mendapatkan rakan baharu... kami mengalu-alukan komitmen anda hari ini dan juga pada masa hadapan untuk meningkatkan pelaburan ke Malaysia,” katanya.
Mesyuarat Meja Bulat itu disertai oleh 18 syarikat, iaitu tujuh syarikat pembuatan, tiga syarikat perkhidmatan, tujuh pengimport dan satu persatuan.
Untuk rekod, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022 dan jumlah itu tertinggi dalam sejarah negara.
Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.
Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.
Hubungan perdagangan dan ekonomi Australia bersama Malaysia telah menjadi matang dan komprehensif.
Pada 2022-2023, Malaysia adalah rakan perdagangan kedua terbesar Australia dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rakan perdagangan kelapan terbesar secara keseluruhan.
Australia pula adalah rakan perdagangan ke-10 terbesar Malaysia.
Antara jenama peruncitan terkemuka Australia yang beroperasi di Malaysia termasuk Aesop, Blackmores, Boost Juice, Cotton On, Harvey Norman, dan King Living.
Institusi pengajian tinggi Australia yang terdapat di Malaysia pula ialah Curtin University, Monash University, Swinburne University dan University of Wollongong.
Jenama-jenama terkemuka lain antaranya BlueScope, Cochlear, SEEK dan Lendlease.
#Anwar Ibrahim #ASEAN #MITI #Hubungan dua hala
;