Kerajaan konsisten laksana pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya - Azalina

Irfan Faruqi
Mac 14, 2023 09:02 MYT
Azalina menambah logik pengasingan kuasa ini adalah untuk memastikan Pendakwa Raya dapat laksanakan tugas pendakwaan bebas daripada tekanan politik. - Foto Fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk melaksanakan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan integriti institusi perundangan. Ia juga selaras dengan amalan baik negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam konteks Kerajaan Perpaduan, pengasingan kuasa ini juga sesuai dengan manifesto yang ditawarkan oleh Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
"Kalau kita lihat di negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom, Menteri Undang-undang mereka duduk dalam Kabinet dan berada di dalam Parlimen. (Menteri ini) bertanggungjawab dalam semua aspek undang-undang.
"Manakala kuasa pendakwaan itu diberikan kepada individu-individu yang bertahap profesional. Maknanya mereka berada dalam satu organisasi yang disebut sebagai Pejabat Pendakwa Raya. Pengasingan ini diperlukan, sebab dalam aspek politik kita pergi kepada Peguam Negara dan bagi aspek pendakwaan kita pergi kepada Pendakwa Raya." katanya dalam program Agenda AWANI.
Kerajaan Perpaduan konsisten laksana pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya
Azalina turut menjelaskan senario semasa dengan merujuk kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri. Wakil Pejabat Peguam Negara (AGC) ialah anggota kepada mesyuarat tersebut bagi memberi nasihat teknikal berkaitan perundangan.
Walau bagaimanapun, hal sama tidak berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan. Ia memandangkan, Peguam Negara bukan ahli kepada mesyuarat Kabinet. Sebaliknya, Menteri Undang-Undang yang akan menyampaikan arahan Kabinet kepada Peguam Negara.
"Sekarang ini, Peguam Negara tidak duduk dalam mesyuarat (Kabinet). Sebaliknya dalam mesyuarat Kabinet (perihal undang-undang diwakili oleh) saya. Tapi bila saya keluar mesyuarat, saya perlu telefon Peguam Negara (sampaikan) arahan-arahan Kerajaan," jelasnya.
Azalina menambah, logik pengasingan kuasa ini adalah untuk memastikan Pendakwa Raya dapat melaksanakan tugas pendakwaan bebas daripada tekanan politik. Manakala Peguam Negara boleh memberi tumpuan kepada menasihati Kerajaan mengenai isu perundangan secara langsung dalam mesyuarat Kabinet.
Ini memandangkan, anggota Kabinet dalam kalangan orang politik mempunyai keupayaan terhad berkaitan isu-isu teknikal undang-undang.
#Agenda Awani #Azalina Othman #Peguam Negara #pendakwa raya #pengasingan kuasa