Kerajaan komited tingkat pengambilan OKU dalam perkhidmatan awam

Firdaus Azil
November 12, 2024 13:13 MYT
Dr Zaliha berkata, untuk tahun 2023, seramai 92 orang OKU dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan pengambilan calon orang kurang upaya (OKU), bagi memastikan kejayaan Dasar 1 Peratus OKU dalam Perkhidmatan Awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Dr Zaliha Mustafa berkata, untuk tahun 2023, seramai 92 orang OKU dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), dengan jumlah keseluruhan pelantikan ialah seramai 25,520 orang (0.36 peratus).
Jumlah permohonan daripada golongan OKU yang diterima bagi tahun yang sama pula, katanya lagi, ialah seramai 6,177 permohonan berbanding 1.19 juta keseluruhan permohonan (0.52%).
Antara usaha yang digariskan kerajaan, jelas Dr Zaliha lagi, seperti integrasi maklumat calon OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA (SPA9).
Selain itu, terdapat pengecualian menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) berbanding calon lain, kelonggaran syarat dasar One Step Lower yang mana calon OKU boleh memohon jawatan gred lebih rendah daripada kelayakan akademik dimiliki.
Pada masa yang sama, Dr Zaliha berkata, JPA turut bertanggungjawab memastikan deskripsi tugas, persekitaran tempat kerja dan penerimaan ketua jabatan adalah 'mesra dan sesuai' OKU.
“SPA membuat pelantikan berdasarkan merit dan kompetensi seseorang calon. Syarat pelantikan OKU adalah sama dengan pelantikan calon yang lain iaitu berdasarkan syarat lantikan skim perkhidmatan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan keperluan Ketua Perkhidmatan seperti keutamaan bidang pengajian/kelayakan, serta lokaliti atau jantina,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, yang mahu mengetahui statistik pelantikan OKU dalam perkhidmatan awam mengikut kategori ketidakupayaan bagi 2023 dan 2024 serta perbandingan dengan jumlah permohonan OKU dan langkah menangani ketidakseimbangan tersebut.
#OKU #perkhidmatan awam #Zaliha Mustafa #Parlimen
;