Kerajaan komited tingkat integriti institusi - Najib
Bernama
September 14, 2015 19:48 MYT
September 14, 2015 19:48 MYT
Kerajaan komited untuk meningkatkan integriti institusi bagi mengekalkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap ekonomi negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus membantu menyelesaikan siasatan berhubung pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau turut memberi jaminan isu 1MDB akan terus ditangani dengan pendekatan yang telus serta mesra pasaran.
"Sebagai contoh, pelupusan kepentingan 1MDB dalam syarikat Edra Global Energy dilaksanakan menerusi proses bidaan terbuka. Ia kini dalam peringkat akhir dan semua tawaran (bidaan) yang diterima termasuk dari luar negara itu mencerminkan nilai pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan langkah-langkah proaktif ekonomi di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan sama turut digunapakai dalam projek pembangunan Bandar Malaysia oleh 1MDB.