Kerajaan komited tangani isu kekurangan BPT guna kontrak beras import - PM Anwar

Abd Hadi Che Awang
April 1, 2024 23:09 MYT
Anwar pada Isnin hadir di majlis berbuka puasa Madani negeri Perlis di Masjid Nurul Huda Felda Chuping, Padang Besar. - Gambar FB Anwar Ibrahim
PADANG BESAR: Keputusan agar semua kontrak kerajaan melibatkan pengedaran beras menggunakan beras putih import mulai hari ini adalah bukti komitmen Kerajaan Madani bagi menangani masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, pihaknya juga sedang berusaha sedaya upaya dalam memberikan fokus kepada usaha meningkatkan penyaluran Beras Putih Tempatan (BPT) kepada rakyat teramai.
Tambah beliau, antara langkah yang dilakukan adalah memastikan kilang-kilang yang mempunyai BPT untuk menghantar kepada agensi-agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) agar memanfaatkan kumpulan sasar.
"Kerajaan mulai hari ini, 1 April memutuskan semua keperluan (kontrak pengedaran beras) melibatkan tentera, polis, sekolah asrama, hospital (untuk) digunakan beras import supaya beras murah tempatan boleh dibeli oleh rakyat terbawah,
"Ini kerana keperluan oleh tentera, polis dan asrama (ini kuantitinya) banyak, kalau tidak bergantung kepada beras tempatan maka keperluan rakyat itu lebih dipermudahkan,
"Bagaimanapun, saya akui hasil pengeluaran padi (dalam negara) itu belum mencukupi," katanya semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa Madani negeri Perlis di Masjid Nurul Huda FELDA Chuping, Padang Besar.
25 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan langkah agar sebarang kontrak kerajaan melibatkan pengedaran beras akan menggunakan beras putih import mulai April adalah satu langkah intervensi oleh kerajaan bagi memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) mencukupi di pasaran.
Jelas beliau, negara kini mengeluarkan kira-kira 62 peratus BPT, manakala selebihnya adalah hasil beras putih import.
Mengenai isu kekurangan BPT, Mohamad berkata situasi itu berpunca daripada perubahan corak permintaan pengguna susulan peningkatan harga beras putih import.
Selain itu, faktor pengukuhan dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit Malaysia turut menyumbang kepada situasi yang berlaku ketika ini.
#beras import #inisiatif kerajaan #kos sara hidup #BPT
;